51 geran penyelidikan FCoEE fokus pembangunan asnaf di Perlis

Foto Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE)

KANGAR, 17 Februari – Sebanyak 51 Geran Penyelidikan bernilai RM357,000 telah diperuntukan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) bagi fasa 1 dan fasa 2 bagi tempoh 2024 hingga 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • FCoEE peruntuk 51 geran untuk penyelidikan fasa 1 dan 2, memberi manfaat kepada penyelidik dari 10 institusi pendidikan.
  • Penyelidikan fokus 13 tema utama berkaitan asnaf termasuk pendidikan digital, TVET, pengurusan zakat dan wakaf serta pembangunan psikososial pelajar.
  • Fasa 3 dibuka 15 Feb hingga 15 Apr 2026 dengan skop pendidikan, pembangunan dan pemberdayaan asnaf di Perlis.

Bagi tahun ini, tambahan peruntukan sebanyak RM280,000 disediakan bagi melaksanakan sebanyak 40 penyelidikan berkaitan asnaf.

Menurut Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin dalam kenyataan, geran penyelidikan yang disalurkan bagi fasa 1 dan 2 telah memberi manfaat kepada penyelidik dan pakar akademik dari 10 pusat pengajian tinggi dan agensi berkaitan pendidikan seluruh negara.

Tumpuan utama penyelidikan melibatkan 13 tema utama berkaitan asnaf iaitu pengurusan zakat dan wakaf, AI dan digital, pendidikan digital dan pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET), kemahiran keibubapaan dan pencapaian akademik serta pembangunan psikososial pelajar.

Selain itu, transformasi keluarga asnaf untuk kecemerlangan anak, pengukuhan kompetensi dan persediaan kerja pelajar asnaf, perumahan dan penempatan pelajar, kemahiran membaca, menulis dan mengira pelajar, keusahawanan digital, sukan dan asnaf, kesihatan untuk komuniti asnaf serta pusat aktiviti sosial berstruktur untuk warga emas.

”Setiap penyelidikan yang dilaksanakan mampu menghasilkan data berkualiti yang boleh dijadikan rujukan utama selari dengan pelan strategik FCoEE 2026 hingga 2030.

“… yang dirangka bagi terus memperkasa kecemerlangan pendidikan dan pemberdayaan asnaf di Perlis serta diterbitkan dalam jurnal berindeks dan buku prosiding untuk rujukan umum”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Geran Penyelidikan Jangka Pendek FCoEE Fasa 3 yang mula dibuka kepada penyelidik dan pakar akademik mulai 15 Februari 2026 sehingga 15 April 2026, dengan skop kajian ialah pendidikan, pembangunan dan pemberdayaan asnaf perlis.

Sehingga kini,  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis (IPGM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis telah berjaya melaksanakan penyelidikan masing-masing bagi fasa 1 dan 2.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.