
MILANO, 17 Februari – Pasangan Jepun, Riku Miura dan Ryuichi Kihara, mencipta sejarah apabila bangkit daripada kedudukan kelima untuk merangkul emas acara berpasangan luncur ais berirama pada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina, Isnin.
- Miura dan Kihara memenangi emas luncur ais berpasangan, mencipta sejarah sebagai pingat emas Olimpik pertama Jepun dalam acara itu.
- Mereka mengumpul 158.13 mata dalam program bebas dan jumlah keseluruhan 231.24 mata untuk kemenangan.
- Georgia raih perak selepas kesilapan lontaran triple loop; Jerman ambil gangsa akibat beberapa kesilapan teknikal.
Aksi memukau yang diiringi muzik “Gladiator” nyanyian Andrea Bocelli menyaksikan mereka mengumpul 158.13 mata, sekali gus mencatat jumlah keseluruhan 231.24 mata. Kejayaan itu menghadiahkan Jepun pingat emas Olimpik pertama dalam acara luncur ais berpasangan.
Pasangan Georgia, Anastasiia Metelkina dan Luka Berulava, meraih perak dengan 221.75 mata selepas melakukan kesilapan ketika mendarat dalam aksi lontaran triple loop menjejaskan kutipan mata mereka.
Sementara itu, pasangan Jerman, Minerva Fabienne Hase dan Nikita Volodin, terpaksa berpuas hati dengan gangsa apabila menamatkan saingan dengan 219.09 mata susulan beberapa kesilapan teknikal dalam program bebas.
Sementara itu di gelanggang hoki ais, ketua pasukan Kanada, Marie-Philip Poulin, muncul wira apabila meledak dua gol untuk membawa Canada ke acara akhir wanita buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Switzerland 2-1.
Kejayaan itu turut menyaksikan Poulin memecahkan rekod jaringan terbanyak wanita di Sukan Olimpik dengan gol ke-19 dan ke-20 nya sepanjang penyertaan di temasya berkenaan.
Juara bertahan itu dijadual berdepan seteru tradisi, Amerika Syarikat, pada aksi penentuan juaara Khamis ini dalam misi memburu pingat emas keenam.
Switzerland pula akan membuat perhitungan dengan Sweden bagi penentuan pingat gangsa selepas gagal menandingi dominasi Kanada yang melepaskan 46 percubaan berbanding lapan sahaja oleh lawan.-REUTERS