Dua pegawai kanan dilepas dengan jaminan kes dana RM900,000

Gambar hiasan

Putrajaya, 16 Februari – Seorang Ketua Pengarah dan Pengarah di sebuah jabatan kerajaan dibebaskan dengan jaminan selepas direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kira-kira RM900,000.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kedua-dua pegawai kanan dibebaskan dengan jaminan selepas direman bagi membantu siasatan penyelewengan dana hampir RM900,000.
  • SPRM merakam keterangan 18 saksi dan menyita barangan bernilai kira-kira RM57,000 sebagai bahan siasatan.
  • Mereka disyaki menyalahgunakan peruntukan jabatan, termasuk tuntutan palsu sekitar RM60,000 untuk urusan umrah rasmi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan jabatan untuk kepentingan peribadi, dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu selepas direman bermula 12 Februari.

“Mereka dilepaskan lebih awal daripada tempoh reman yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan dan siasatan kini berada pada peringkat akhir sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata seramai 18 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

SPRM turut menyita beberapa barangan berharga termasuk pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM57,000.

Kedua-dua individu itu ditahan pada pukul 1 tengah hari, 11 Februari lalu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, sebelum Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan permohonan reman selama lima hari.

Selain itu, mereka turut dipercayai mengemukakan tuntutan palsu serta dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 bagi menunaikan umrah ketika menghadiri urusan rasmi di Jeddah dari 29 Januari hingga 4 Februari tahun lalu.