Mogok pekerja ganggu penerbangan di lapangan terbang utama Nairobi

Foto REUTERS

NAIROBI, 16 Februari -Penerbangan dan operasi kawalan trafik udara di lapangan terbang utama Nairobi terganggu pada Isnin susulan mogok pekerja Kenya Airways (KQ), menurut syarikat penerbangan nasional Kenya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mogok pekerja Kenya Airways mengganggu operasi kawalan trafik udara di JKIA menyebabkan gangguan pada beberapa penerbangan.
  • KQ menasihati penumpang mengesahkan status penerbangan dahulu kerana kemungkinan pelarasan jadual dan kelewatan.
  • KAWU memberi notis mogok atas tuntutan belum diselesaikan dan mengancam menutup ruang udara Kenya jika tidak dipenuhi.
  • Lapangan terbang lain turut terjejas, penumpang melaporkan kelewatan panjang dan kesulitan di landasan.

Kenya Airways (KQ) menasihati penumpang mengenai kemungkinan “pelarasan jadual termasuk kelewatan” dan mengingatkan mereka agar tidak ke lapangan terbang tanpa mengesahkan status penerbangan terlebih dahulu.

“Kami kini mengalami kelewatan operasi kawalan trafik udara di Jomo Kenyatta International Airport (JKIA), yang menjejaskan sesetengah penerbangan berlepas dan tiba,” menurut posting KQ di X.

Minggu lalu, Kenya Aviation Workers Union (KAWU) memberi notis mogok bermula Isnin atas isu tuntutan yang belum diselesaikan, termasuk perjanjian pekerjaan yang tergendala dalam rundingan.

KAWU turut mengancam “penutupan sepenuhnya ruang udara Kenya” sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Penumpang melaporkan kelewatan panjang di landasan selepas menaiki pesawat. Seorang pengguna X menulis: “Kelewatan dua hingga tiga jam kerana kawalan trafik udara diumumkan selepas menaiki pesawat… dengan anak kecil?”

Lapangan terbang lain di Kenya juga terjejas akibat mogok itu. Senator Kenya, Boni Khalwale, memaklumkan di X: “Kami terperangkap di Kisumu Airport berjam-jam sejak pagi.”

Pada 2024, pekerja di JKIA pernah mengadakan mogok membantah rancangan kerajaan untuk memberi tender kepada Adani Group bagi mengembangkan lapangan terbang itu, kerana ia berisiko mengurangkan pekerjaan tempatan dan menjejaskan keuntungan masa depan pembayar cukai.

Kenya kemudian membatalkan kerjasama dengan Adani atas dakwaan “rasuah” selepas pengerusinya, Gautam Adani, didakwa di Amerika Syarikat. – AFP