
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Perbelanjaan sempena musim perayaan perlu diurus secara strategik bagi mengelakkan tekanan kewangan selepas tempoh tersebut berakhir.
- Sediakan senarai perbelanjaan awal untuk elak pembelian impuls dan kawal kos perayaan.
- Nilai keperluan sebenar sebelum membeli walau diskaun atau promosi menarik.
- Elakkan keputusan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan aliran tunai isi rumah.
- Buat perancangan kewangan jelas supaya perbelanjaan perayaan tidak ganggu kestabilan jangka panjang.
Setiausaha Majlis Perancangan Kewangan Malaysia, Anthony Ang Sang Nang berkata, lonjakan permintaan ketika musim perayaan lazimnya mendorong kenaikan harga serta pelbagai tawaran promosi yang boleh mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna.
Menurutnya, walaupun diskaun dan promosi kelihatan menarik, pengguna perlu menilai keperluan sebenar sebelum membuat pembelian bagi mengelakkan pembaziran dan komitmen kewangan yang tidak dirancang.
“Pengguna perlu menyediakan senarai perbelanjaan lebih awal kerana kebiasaannya harga meningkat ketika musim perayaan susulan permintaan yang tinggi.
”Walaupun terdapat pelbagai tawaran dan diskaun, kita perlu menilai sama ada barangan itu benar-benar diperlukan dan tidak membeli hanya kerana terpengaruh dengan promosi,” katanya ketika menjadi tetamu Biz Malaysia di sini.
Tambahnya, keputusan pembelian yang dibuat secara tergesa-gesa berisiko menjejaskan aliran tunai isi rumah, khususnya jika melibatkan kemudahan kredit tanpa perancangan yang teliti.
Beliau turut menyarankan agar pengguna menyediakan perancangan awal yang jelas, bagi memastikan perbelanjaan musim perayaan kekal terkawal tanpa menjejaskan kestabilan kewangan jangka panjang.