
PETALING JAYA, 16 Februari – Kementerian Pertahanan sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berhubung status pembekuan dana perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keperluan operasi serta tahap kesiapsiagaan ketenteraan negara tidak terjejas.
- Perbincangan antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan mengenai pembekuan dana perolehan ATM untuk memastikan operasi tidak terjejas.
- Jaminan Menteri Pertahanan bahawa operasi dan kesiapsiagaan ATM akan terus dipertahankan sepanjang rundingan.
- Pembekuan dibuat susulan arahan Perdana Menteri berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa dalam perolehan ATM.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, rundingan tersebut penting bagi memberi keutamaan kepada perkara kritikal supaya kelancaran operasi ATM terus terpelihara.
“Jadi, kita (Kementerian Pertahanan) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan berhubung isu ini. Apapun, saya beri jaminan soal operasi berjalan lancar dan baik, manakala kesiapsiagaan ATM dapat terus kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skuadron Rapid Rail 50, Regimen Pakar Keretapi Regimen Askar Jurutera Diraja Askar Wataniah di Menara Prasarana di sini, hari ini.
Pada 16 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan melibatkan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai kaitan dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya.
Langkah pembekuan itu dibuat susulan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan beberapa bekas pimpinan tertinggi ATM.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Mohamed Khaled turut memaklumkan bahawa kementeriannya akan meneliti secara terperinci pelaksanaan perkara berkenaan selaras dengan kerangka tadbir urus, peraturan kewangan serta perundangan yang sedang berkuat kuasa.