Program Peluang Kedua Fast Track 2026, permudah pelepasan bankrup

Datuk Seri Azalina Othman Said/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Februari – Kerajaan memperkenalkan pelepasan kebankrapan secara dalam talian menerusi Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track 2026 bagi mempercepatkan proses pelepasan bankrap dan membantu golongan terjejas bangkit semula.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelepasan kebankrapan kini boleh dipohon secara dalam talian menerusi Program Peluang Kedua Fast Track 2026.
  • Fasa kedua fokus pada empat kategori punca kebankrapan: ibu/bapa tunggal, mangsa penipuan, rumah terbengkalai, peminjam mikro.
  • Proses dijangka selesai kira-kira 36 hari tanpa had umur; kelayakan berdasarkan situasi kebankrapan.
  • Kerjasama MoU antara Jabatan Insolvensi dan AKPK untuk pengurusan keberhutangan lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif fasa kedua itu memberi tumpuan kepada empat kategori utama yang dikenal pasti sebagai punca kebankrapan.

Kategori berkenaan melibatkan ibu atau bapa tunggal, mangsa penipuan kewangan, pembeli rumah terbengkalai serta peminjam mikro.

“Permohonan pelepasan boleh dibuat secara dalam talian dan Ketua Pengarah Insolvensi memberi komitmen bahawa proses tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira 36 hari.

“Jadi ini kita lihat sebagai satu pendekatan yang memang dilihat untuk menggalakkan peluang kedua bagi pemohon-pemohon sebab kita tengok kadang-kadang seperti kata dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa peluang kedua ini kalau kita beri itu ia akan memberikan kekuatan kepada ekonomi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pelancaran Program Pelepasan Dasar Peluang Kedua Fast Track 2026 di sini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan bahawa kelayakan tidak tertakluk kepada had umur atau tempoh tertentu, sebaliknya berdasarkan situasi kebankrapan yang dihadapi pemohon.

Permohonan juga tidak memerlukan pemohon memenuhi kesemua kategori serentak, sebaliknya memadai berada dalam salah satu kategori ditetapkan.

Datuk Seri Azalina berkata, pendekatan itu bertujuan memberi peluang kedua kepada individu terjejas supaya dapat kembali menyumbang kepada ekonomi negara.

Kerajaan turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Insolvensi Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memperkukuh pengurusan isu keberhutangan rakyat secara lebih menyeluruh.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh kerjasama rentas agensi dalam menangani isu keberhutangan rakyat secara menyeluruh, berperikemanusiaan dan mampan.