Peranti bukan ‘pengasuh’ ibu bapa digesa pantau anak-anak

Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 16 Februari Ibu bapa diingatkan agar tidak menjadikan peranti digital sebagai ‘pengasuh’ automatik bagi anak-anak tanpa pengawasan rapi bagi mengelakkan pendedahan kepada kandungan memudaratkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa mesti pantau penggunaan peranti, bukan jadikan peranti sebagai pengasuh automatik.
  • Awasi bukan sahaja masa tetapi juga jenis kandungan dan algoritma media sosial anak.
  • Aktifkan fungsi kawalan ibu bapa pada aplikasi; bukan semua bahan dalam talian sesuai untuk kanak-kanak.
  • Platform yang gagal patuh undang-undang berdepan tindakan termasuk denda sehingga RM10 juta.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tugas mendidik anak-anak dalam era digital adalah tanggungjawab mutlak ibu bapa selain memahami selok-belok dunia digital dan sentiasa mendampingi anak-anak bagi memastikan mereka terlindung daripada pengaruh negatif.

Meskipun dunia digital menawarkan pelbagai manfaat, ia juga boleh menjadi ketagihan sekiranya disalah guna atau tidak dikawal dengan bijak.

“Ibu bapa perlu cakna dan memantau bukan sahaja masa penggunaan, malah jenis kandungan yang ditonton atau dimainkan oleh anak-anak. Kita juga perlu mengawal sendiri algoritma media sosial kita agar pilihan kandungan lebih terbuka dan tidak terhad kepada satu kelompok sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian program Selamat Pagi Malaysia@Johor Bahru bersempena dengan pelancaran Jelajarh Ramadan JohorFM edisi ke-14.

Datuk Fahmi turut menyeru ibu bapa agar lebih proaktif dengan mempelajari cara mengaktifkan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) pada setiap aplikasi selain menegaskan bahawa tidak semua bahan di dalam talian selamat dan sesuai untuk tontonan kanak-kanak.

Menyentuh mengenai aspek perundangan, Datuk Fahmi memaklumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) kini terpakai ke atas platform penyedia kandungan dan media sosial bagi memastikan mereka patuh kepada undang-undang negara.

“Mana-mana platform yang gagal mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan boleh berdepan dengan tindakan tegas, termasuk hukuman denda sehingga RM10 juta,” tambah Fahmi.

Pengguna media sosial juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli siber, jenayah seksual dalam talian serta sindiket penipuan (scammer) yang melibatkan kerugian kewangan.

Menjelang kedatangan bulan Ramadan, beliau menyarankan masyarakat untuk mengambil kesempatan ‘berpuasa’ daripada penggunaan peranti dan media sosial secara berlebihan.

Sebaliknya, memeanfaatkan waktu tersebut untuk fokus kepada ibadat serta memperkukuh hubungan sesama manusia secara fizikal.

“Manfaatkan dunia digital secara bersederhana untuk tujuan yang betul seperti berniaga, belajar, dan berhubung, bukannya sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial,” katanya lagi.