Buku telusuri sejarah kegemilangan bola sepak Selangor dilancar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor bukan sekadar naskhah dokumentasi, sebaliknya menjadi rakaman denyut nadi perjuangan, pengorbanan dan kebanggaan pasukan bola sepak negeri Selangor sejak penubuhannya hingga hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Buku Gemilang merekodkan sejarah panjang, pencapaian dan detik manis serta pahit bola sepak Selangor.
  • Penerbitan buku hasil usaha bertahun-tahun melibatkan bekas jurulatih, pemain dan individu yang berbakti kepada FAS.
  • Sultan menyeru penyokong menjaga adab, disiplin dan maruah ketika memberi sokongan, elak dadah dan tindakan provokatif.

Pelancaran buku itu disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Stadium Merdeka, hari ini.

Dalam titah baginda, buku berkenaan menghimpunkan perjalanan panjang pasukan Selangor termasuk pencapaian, jatuh bangun serta detik manis dan pahit yang menjadi saksi kegigihan pasukan tersebut.

“Selaku Penaung Selangor FC dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), beta merakamkan penghargaan dan tahniah kepada FAS serta semua pihak yang terbabit dalam penerbitan buku yang memuatkan garis masa sejarah FAS dan bola sepak Selangor ini.

“Beta maklum bahawa usaha ini sudah dirancang sejak sepuluh tahun lalu serta memerlukan ketekunan yang tinggi untuk dihasilkan kerana membabitkan ramai bekas jurulatih, pemain dan individu yang pernah menabur bakti kepada bola sepak Selangor.

“Beta juga yakin, setiap helaian buku ini akan mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan persaingan tradisi antara Selangor dengan Singapura, suatu era yang cukup istimewa,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda menasihatkan penyokong Selangor agar sentiasa menjaga adab dan disiplin ketika memberi sokongan, sama ada di dalam atau di luar stadium.

“Jauhilah najis dadah yang boleh merosakkan akhlak dan pemikiran. Sokongan yang bersemangat hendaklah disertai dengan disiplin dan kebijaksanaan.

“Jagalah maruah pasukan dan negeri, elakkan perbuatan yang boleh mengundang hukuman atau denda. Suarakan ketidakpuasan hati melalui saluran yang betul serta berhemah,” titah baginda.