
KUALA TERENGGANU, 15 Februari – Usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur diberi keutamaan bagi memastikan keselesaan serta kelancaran penglibatan semua pihak menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
- Kerajaan negeri minta peruntukan tambahan walaupun sudah memperuntukkan RM100 juta.
- Peruntukan tambahan diperlukan untuk fasiliti sukan, pengangkutan, penginapan dan keselamatan.
- Surat dihantar kepada KBS untuk mohon sokongan selaras semangat federalisme.
- Unit sekretariat ditubuhkan awal, terikat peraturan kewangan dan tatacara perolehan negeri.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata sebagai tuan rumah pada temasya dwitahunan itu, pihaknya masih memerlukan beberapa peruntukan tambahan, walaupun sebelum ini kerajaan negeri sudah memperuntukkan sejumlah RM100 juta.
Menurut Mohd Najwan, peruntukan tambahan itu merangkumi penambahbaikan fasiliti sukan, sistem pengangkutan, kemudahan penginapan serta aspek keselamatan.
“Kami juga telah mengutus surat kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) kerana berpendapat adalah wajar pihak kementerian turut memberikan sokongan dalam aspek tertentu kepada negeri-negeri yang menganjurkan SUKMA.
“Ini memandangkan kami mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan temasya berkenaan ketika negeri-negeri lain tidak berminat berbuat demikian.
“Kami membantu demi memastikan kelangsungan penganjuran, justeru kami turut mengharapkan sokongan sewajarnya selaras dengan semangat federalisme,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis kunjungan hormat bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim di Wisma Darul Iman, di sini.
SUKMA 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini, dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang.
Mengulas mengenai langkah mengelakkan pembaziran kos penganjuran, beliau memaklumkan unit sekretariat sudah ditubuhkan pada peringkat awal dan terikat dengan peraturan kewangan serta tatacara perolehan di bawah kerajaan negeri.