Tiga pelajar orang asli Kelantan terima tawaran SBP dalam 10 tahun

FOTO RTM

KOTA BHARU, 15 Februari – Tiga pelajar Orang Asli di Kelantan mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sekali gus menjadi kejayaan pertama bagi komuniti berkenaan dalam tempoh 10 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pencapaian pertama tiga pelajar Orang Asli ke SBP dalam 10 tahun menunjukkan kebolehan mereka bersaing jika diberi peluang.
  • JPN Kelantan memuji usaha pengukuhan akademik, bimbingan berfokus dan kerjasama komuniti sebagai kunci kejayaan.
  • Keluarga dan komuniti melihat kejayaan ini sebagai inspirasi untuk lebih ramai anak Orang Asli mencapai kecemerlangan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata pencapaian itu membuktikan anak-anak Orang Asli mampu bersaing dan cemerlang sekiranya diberi peluang serta sokongan sewajarnya.

Beliau menegaskan kejayaan ini hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperkasa pendidikan anak Orang Asli melalui program pengukuhan akademik, bimbingan berfokus, serta kerjasama erat dengan ibu bapa dan komuniti setempat untuk memastikan murid tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana.

“Kita berharap selepas ini lebih ramai lagi anak Orang Asli akan berjaya masuk ke Sekolah Berasrama Penuh,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Surat Tawaran SBP di Dewan Sri Tunjong, di sini , hari ini.

Tiga pelajar yang menerima tawaran itu ialah Nur Muhammad Al Khawarizmi Rosmi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, Muhammad Putra Faizul Ab Ghani dari SK Sungai Rual yang ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, dan Nor Christina Ranya dari SK Sri Permai yang ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.

Beliau menambah JPN Kelantan komited untuk terus memperluas akses pendidikan berkualiti kepada masyarakat Orang Asli, selaras aspirasi melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.

Salah seorang pelajar yang ditemui RTM, Muhammad Putra Faizul Ab Ghani, melahirkan rasa syukur dan teruja kerana berpeluang menyambung pengajian di SBP serta berharap dapat mengubah masa depan keluarganya.

“Saya ingin berjaya dan membahagiakan kedua ibu bapa saya,” katanya.

Sementara itu, Ibu bapa pelajar pula menyifatkan kejayaan itu sebagai kebanggaan besar buat komuniti mereka dan berharap ia menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Orang Asli untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Harapan saya sebagai seorang ibu, anak saya berjaya bukan pengakhiran tetapi permulaan baru. Saya berharap anak-anak lain juga akan mengikuti jejak ini,” kata Siti Harun, ibu kepada salah seorang pelajar.