
KUALA LUMPUR, 15 Februari – Program Pembangunan e-Dagang Rentas Sempadan (eBizLink) di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berjaya menjana jualan eksport bernilai RM274 juta dari 2023 hingga 2025.
- eBizLink hasilkan jualan eksport RM274 juta dari 2023 hingga 2025, disokong aktiviti promosi eksport digital di pasaran antarabangsa.
- 1,855 syarikat tempatan manfaat program, tumpuan sektor farmaseutikal, penjagaan diri, kosmetik, makanan minuman dan perkhidmatan.
- Program diteruskan sebagai eBizLink 2.0 untuk 2026, sasar 2,000 syarikat dan RM250 juta jualan eksport melalui inisiatif digital rentas sempadan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof, sepanjang pelaksanaannya sebanyak 1,855 syarikat tempatan telah menerima manfaat melalui 37 aktiviti promosi eksport digital yang dilaksanakan di pelbagai pasaran antarabangsa.
”Antara pasaran terlibat termasuklah negara anggota Asean, Arab Saudi, China, Chile, Nigeria, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu, Perancis dan Jerman.
”Sektor utama yang menyumbang kepada pencapaian jualan eksport ini merangkumi farmaseutikal, produk penjagaan diri, kosmetik dan makanan dan minuman serta perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, program berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen berterusan MATRADE dalam menggalakkan eksport melalui platform e-Dagang rentas sempadan serta memperkukuh akses pasaran global oleh syarikat tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PMKS)
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti melalui pelaksanaan program bimbingan perdagangan digital di beberapa negeri dengan kerjasama kerajaan negeri dan pemain industri e-Dagang rentas sempadan antarabangsa.
”Program ini akan diteruskan di bawah RMK13 dengan dikenali sebagai eBizLink 2.0. Sepanjang 2026, 16 program dan inisiatif dijadual akan dijalankan melibatkan kerjasama pelbagai rakan-rakan strategik di pasaran-pasaran terpilih di seluruh dunia.
”Program ini turut menyasarkan untuk membantu sebanyak 2,000 syarikat dan menjana jualan eksport berjumlah RM250 juta dalam tempoh tersebut melalui inisiatif promosi digital rentas sempadan,” katanya.