
KUALA LUMPUR, 15 Februari – Kecerdasan buatan (AI) kini dilihat sebagai alat bantu yang mampu memperkasa produktiviti dan meningkatkan mutu hasil karya kreatif.
- AI meningkatkan produktiviti dengan mempercepat kerja rutin dan membantu menjana idea kreatif.
- Keseimbangan antara kreativiti manusia dan AI penting supaya hasil tetap bernilai, beretika dan sahih.
- Perlu tadbir urus dan etika digital yang jelas untuk memastikan akauntabiliti dan penggunaan AI yang bertanggungjawab.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Sharifalillah Nordin berkata kemajuan teknologi itu tidak wajar dianggap sebagai satu ancaman, sebaliknya boleh dimanfaatkan dalam penghasilan kerja.
Jelasnya, keseimbangan antara kreativiti manusia dan kecerdasan buatan amat penting bagi memastikan hasil karya kekal bernilai, beretika dan sahih.
“AI banyak membantu sebenarnya dalam meningkatkan produktiviti kita, dapat membuat kerja-kerja rutin menjadi lebih cepat, mempercepatkan kerja-kerja awal dan dapat membantu menjana idea. Jadi, pengkarya boleh lebih fokus kepada penyuntingan dan penceritaan yang sebenar.
“Jangan anggap AI itu adalah satu ancaman, kita yang harus mencabar diri kita untuk seiring dengan teknologi.
“Cabarannya saya nampak lebih kepada etika. Jika seseorang itu menyalahgunakan AI, dia akan menyebabkan sesuatu yang tidak sahih. Seeeloknya. etika digital itu memang sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Mengulas mengenai inisiatif kerajaan merangka Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan, Dr Sharifalillah berpandangan langkah itu amat signifikan dalam memastikan akauntabiliti dan etika dalam penggunaan teknologi tersebut.
Beliau turut berharap agar etika terhadap penggunaan AI terus diberi perhatian oleh kerajaan dan masyarakat bagi memastikan teknologi itu dimanfaatkan sebaiknya.