Ramadan sebagai madrasah rohani, perkukuh perpaduan dan akhlak – PM

Foto BERNAMA

PADANG RENGAS, 14 Februari– Bulan Ramadan perlu dijadikan medan memperkukuh perpaduan dan membina akhlak masyarakat, bukannya ruang untuk bertelagah atau menghina antara satu sama lain.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan mesti dijadikan madrasah rohani untuk muhasabah dan memperbaiki diri secara menyeluruh.
  • Puasa bertujuan meningkatkan ketakwaan, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.
  • Gunakan Ramadan untuk memperkukuh perpaduan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
  • Pembinaan akhlak adalah asas kepada usaha mengangkat martabat rakyat dan negara.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sebaliknya bertujuan meningkatkan ketakwaan serta memperbaiki diri secara menyeluruh.

Menurut beliau, Ramadan merupakan madrasah rohani yang memberi peluang kepada setiap individu melakukan muhasabah dan menilai perubahan diri.

“Ambillah kesempatan Ramadan untuk memperbaiki diri sendiri, bukan untuk mencabar, menghina atau menyakiti orang lain.”

“Renungkan apakah kita mampu menjadi lebih baik daripada sebelum Ramadan ini. Mudah-mudahan, kita sama-sama menghayati Ramadan sebagaimana dicontohkan Nabi Muhammad S.A.W.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santuni MADANI dan Sambutan Ihya’ Ramadan 1447 Hijrah di Dewan Terbuka Masjid Al-Taufiqiah, Kampung Chuar Kati, di sini.

Tambah Perdana Menteri, usaha mengangkat martabat rakyat dan negara mesti bermula dengan pembinaan akhlak serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.