KUSKOP sedia RM50 juta menerusi skim BARAKAT, sokong usahawan mikro

Foto FB KUSKOP

KOTA KINABALU, 14 Februari– Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyediakan peruntukan RM50 juta di bawah Pembiayaan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM50 juta disediakan melalui Skim BARAKAT untuk sokong usahawan mikro dengan pembiayaan sehingga RM30,000.
  • Skim dikendalikan TEKUN Nasional menawarkan modal pusingan mudah dan inklusif, membantu ringankan beban kewangan golongan sasaran.
  • TEKUN Sabah terima 1,500 permohonan bernilai RM10.5 juta; permohonan ditutup pada 15 Mac.

Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata inisiatif dikendalikan oleh TEKUN Nasional itu menyediakan modal pusingan yang mudah dan inklusif dengan tawaran pembiayaan sehingga RM30,000.

Jelasnya, pelaksanaan skim berkenaan bukan sahaja memperkasa usahawan mikro, malah membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung golongan itu di seluruh negara.

“Proses permohonan kita permudahkan dengan syarat yang minimum. Bagi usahawan, hanya diperlukan lesen perniagaan. Bagi yang ingin menyertai jualan di bazar tradisional, kebenaran daripada Majlis Daerah tidak diwajibkan – kad pengenalan sudah mencukupi. Selain itu, penyata bank juga diperlukan sebagai asas pengesahan,” kata Datuk Mohamad kepada pemberita, hari ini.

Beliau bercakap kepada RTM selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Pekan Kimanis, di sini.

Tambah Datuk Mohamad, antara dokumen yang diperlukan sewaktu memohon termasuk lesen berniaga ataupun kebenaran daripada pihak Majlis Daerah untuk menyertai jualan bazar selain kad pengenalan dan penyata bank.

Setakat ini, TEKUN Sabah menerima 1,500 permohonan dengan nilai pembiayaan mencecah RM10.5 juta.

Permohonan akan ditutup pada 15 Mac depan.