
PUTRAJAYA, 14 Februari– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melancarkan Op Ihsan 2.0 sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam menyelaras pengagihan bantuan kemanusiaan secara lebih sistematik dan berimpak tinggi kepada golongan yang memerlukan sepanjang Ramadan.
- Pelancaran Op Ihsan 2.0 untuk menyelaras pengagihan bantuan Ramadan secara sistematik dan berimpak tinggi kepada golongan memerlukan.
- Bantuan termasuk sumbangan kepada rakyat Palestin di Gaza melalui tabung diurus Yayasan Waqaf Malaysia bagi tadbir urus telus.
- Pelbagai program oleh JAKIM dan 13 agensi termasuk agihan bakul makanan, zakat wakalah, iftar, program komuniti dan siaran dakwah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata pengagihan bantuan yang turut merangkumi rakyat Palestin di Gaza membolehkan usaha pengimarahan Ramadan dilaksanakan secara lebih terancang, tersusun dan menyeluruh, bukan sahaja di peringkat nasional malah merentasi sempadan antarabangsa.
“Kita melancarkan tabung ini yang akan diuruskan oleh Yayasan Waqaf Malaysia dan dilaksanakan secara bersama bagi memastikan tadbir urus yang telus serta berintegriti. Inisiatif ini bertujuan memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa setiap sumbangan yang disalurkan menerusi program ini adalah khusus untuk membantu rakyat Palestin.”
“Insya-Allah, bantuan berkenaan akan sampai dan diterima oleh penduduk Palestin, khususnya di Gaza serta seluruh wilayah Palestin,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M, di sini.
Program tahunan itu turut menerima sumbangan sebanyak SAR300,000 riyal daripada Liga Muslim Sedunia (MWL) dan 1,500 bakul makanan daripada rakan strategik Nestle bakal diagihkan Ramadan nanti.
Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan RM1.4 juta zakat wakalah kepada 14 buah sekolah berteraskan Pendidikan Islam di seluruh negara bagi menyokong inisiatif Sekolah Angkat MADANI.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan 13 agensi agama yang lain telah merangka pelbagai program bagi menyantuni rakyat secara lebih menyeluruh dan inklusif.
Antaranya, berbuka puasa, program turun ke lapangan mendekati komuniti, penyampaian sumbangan kepada asnaf, penganjuran program rohani yang memperkukuh penghayatan ibadah, serta pengisian ilmu melalui rancangan televisyen, slot khas radio dan segmen perkongsian digital di platform media sosial rasmi.