Inflasi AS menurun di luar jangka kepada 2.4 peratus pada Januari

Gambar hiasan

WASHINGTON, 14 Februari – Inflasi di Amerika Syarikat (AS) menurun lebih daripada jangkaan pada awal tahun ini, menurut data rasmi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi tahun ke tahun pada Januari turun kepada 2.4 peratus, lebih rendah daripada bulan sebelumnya.
  • Penurunan disokong terutamanya oleh penyusutan kos tenaga termasuk kejatuhan harga petrol.
  • Harga perkhidmatan meningkat manakala inflasi teras turun sedikit kepada 2.5 peratus.
  • Syarikat berjaya menyerap kos melalui peningkatan produktiviti, bukan memindahkannya kepada pengguna.

Bagi perbandingan tahun ke tahun, harga pengguna meningkat sebanyak 2.4 peratus pada Januari, menurut Jabatan Buruh di Washington pada Jumaat.

Pada Disember, kadar inflasi tahunan berada pada 2.7 peratus.

Ahli ekonomi sebelum ini menjangkakan penurunan, namun sekitar 2.5 peratus.

Penurunan inflasi itu sebahagian besarnya didorong oleh penyusutan kos tenaga. Harga petrol di AS, misalnya, menjadi 7.5 peratus lebih murah berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebaliknya, harga perkhidmatan meningkat.

Berbanding bulan sebelumnya, harga pengguna naik 0.2 peratus.

Inflasi teras, yang mengecualikan harga tenaga dan makanan yang tidak menentu, menurun sedikit secara tahun ke tahun pada Januari, iaitu pada kadar 2.5 peratus.

Kenaikan tarif AS sebelum ini menyebabkan ramai pakar menjangkakan inflasi negara itu akan melonjak.

Bagaimanapun, syarikat di AS dilihat berjaya mengimbangi peningkatan kos melalui peningkatan produktiviti berbanding memindahkannya kepada pengguna.- BERNAMA-dpa