Pembangunan negara mampan berteraskan institusi keluarga kukuh, sejahtera

FOTO BERNAMA

IPOH, 14 Februari – Pembangunan negara yang mampan mesti berteraskan institusi keluarga yang kukuh dan sejahtera.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi keluarga sebagai asas kekuatan negara, perlu diperkukuh walaupun fokus pada ekonomi dan teknologi.
  • Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) guna pendekatan kitaran hayat keluarga merangkumi praperkahwinan hingga warga emas.
  • DKKN disokong Pelan Tindakan 2026–2030 dengan teras strategik, strategi dan tindakan bersepadu untuk kesejahteraan keluarga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun negara kini rancak membincangkan soal ekonomi, teknologi maklumat, transformasi digital serta peralihan tenaga, asas kekuatan sebenar tetap bermula daripada keluarga.

“DKKN peringatkan kita, bahawa dalam riuh-rendah sibuk mencari dana dan membina kekuatan negara dengan segala kecanggihan sistem pendidikan baru serta kemudahan baru, kita jangan remeh dan tinggalkan asas pendidikan keluarga dan kasih keluarga sebagai pangkalan dan asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Kasih Keluarga Negara (DKKN) dan Jelajah Sejahtera MADANI – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

DKKN diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Dasar berkenaan menggunakan pendekatan kitaran hayat keluarga, meliputi fasa praperkahwinan, pembentukan keluarga, keibubapaan hingga warga emas.

Ia disokong Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030 dan menggariskan lima teras strategik, 16 strategi serta 43 tindakan bersepadu.