Op Tahun Baharu Cina: Kompaun RM300 jika ingkar pakai tali pinggang

FOTO RTM

SHAH ALAM, 14 Februari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memberi penekanan serius terhadap pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas ekspres dan bas persiaran menerusi Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula pada Jumaat (13 Februari) hingga 22 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Selangor tegaskan pemakaian tali pinggang keledar wajib untuk semua penumpang bas sepanjang perjalanan tanpa kompromi.
  • Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun RM300 mengikut Kaedah 4 dan 4A.
  • Operasi termasuk penyamaran, pemeriksaan SLD, pemandu kedua untuk perjalanan >300km dan larangan pemanduan kenderaan barangan dijalankan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan menjelaskan, pengusaha dan pemandu bas diwajibkan memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan tanpa kompromi.

“Kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar di bawah Kaedah 4 dan 4A Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (Pindaan 2008) boleh dikenakan kompaun RM300.

“Pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib ketika kenderaan bergerak. Ia bukan sekadar pematuhan undang-undang, tetapi langkah penting mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan,” katanya pada Sidang Media Sempena Operasi Tahun Baru Cina di Terminal Bas Seksyen 17, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 30 penumpang dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM9,000 atas kesalahan berkenaan di negeri itu.

Jelas beliau, bagi memastikan pematuhan menyeluruh, pihaknya turut melaksanakan operasi penyamaran termasuk sebagai penumpang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan/RTM

“Pihak JPJ turut menjalankan operasi penyamaran sebagai penumpang bas sempena Tahun Baharu Cina ini bagi memastikan pemandu dan pengendali mematuhi peraturan jalan raya, serta semua penumpang dinasihatkan supaya sentiasa memakai tali pinggang keselamatan sepanjang perjalanan demi keselamatan bersama,” jelasnya.

Tambahnya, bagi perjalanan melebihi 300 kilometer, pengusaha bas awam diwajibkan menyediakan pemandu kedua bagi mengelakkan keletihan serta memastikan perjalanan lebih selamat dan terkawal.

Selain itu, pihaknya turut menumpukan pemeriksaan terhadap pemasangan dan fungsi Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan untuk memastikan pematuhan had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Azrin berkata, larangan pemanduan kenderaan barangan (road ban) juga akan berkuat kuasa pada hari ini (14 Februari) hingga esok (15 Februari) serta 21 hingga 22 Februari ini bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.

Sepanjang tempoh Operasi Khas Tahun Baharu Cina kali ini, JPJ Selangor menggerakkan seramai 222 anggota bersama 57 kenderaan penguat kuasa di seluruh negeri bagi memantau tahap pematuhan pengguna jalan raya termasuk pengangkutan awam, kenderaan persendirian dan kenderaan barangan.

Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan lalu lintas boleh menyalurkannya melalui aplikasi MyJPJ e-aduan@JPJ atau melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.