
KUALA LUMPUR, 13 Februari – Seramai 18 warga asing ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sekitar kawasan Kota Raya, Kuala Lumpur.
- 18 warga asing ditahan dalam operasi khas Imigresen dan KKM di kawasan Kota Raya, termasuk 17 Bangladesh dan seorang Myanmar.
- Pemeriksaan ke atas premis mendapati operasi kompleks dengan kaunter pelancongan, jualan ubat dan gunting rambut disalahguna.
- Pelbagai ubat disyaki tidak berdaftar dirampas; tahanan dibawa ke Depot Imigresen untuk siasatan lanjut.
Operasi bermula pukul 4.00 petang itu melibatkan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) dengan kekuatan 70 pegawai, terdiri daripada 50 pegawai Imigresen dan 20 pegawai KKM.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata pemeriksaan dilakukan ke atas 50 individu.
Daripada jumlah itu, 17 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar berusia antara 24 hingga 51 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen sah, melanggar syarat pas dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
“Apa yang menarik dalam operasi pada kali ini ialah kita mendapati bahawa kedai yang digunakan ini sangat kompleks. Maknanya kita mendapati di hadapan dijual produk kegunaan harian, tetapi di bahagian dalam ada tempat ataupun kaunter agensi pelancongan dan juga kaunter jualan ubat.
“Ada juga kita dapati di dalam premis ini tempat telah diubah suai untuk kedai gunting rambut, jadi perkara-perkara ini, maklumat-maklumat ini kita akan salurkan kepada agensi berkaitan”, katanya dalam sidang media, di sini.
Pemeriksaan mendapati pelbagai jenis ubat yang disyaki tidak mempunyai kelulusan dirampas, antaranya ubat kencing manis, panadol, ubat darah tinggi, vitamin E, ubat kolesterol, ubat tahan sakit, antibiotik serta ubat gastrik.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut.
Operasi seumpama ini akan diteruskan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.