Permintaan domestik, eksport kukuh pacu pertumbuhan ekonomi 2026 – BNM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Permintaan dalam negeri yang kekal berdaya tahan serta prestasi eksport yang menggalakkan akan terus memangkin pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permintaan dalam negara kekal berdaya tahan disokong perbelanjaan isi rumah, kenaikan upah dan pertumbuhan guna tenaga.
  • Pertumbuhan eksport dipacu permintaan global stabil terutama barangan E&E dan peningkatan ketibaan pelancong 2026.
  • Pelaburan meningkat melalui pelaksanaan projek awam dan swasta serta inisiatif pemangkin RMK13 dan pelan induk nasional.
  • Inflasi 2026 dijangka sederhana; inflasi teras hampir purata jangka panjang selepas pembaharuan dasar domestik 2025.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour menerusi kenyataan berkata, faktor-faktor itu turut memacu pertumbuhan ekonomi negara yang berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, melebihi julat unjuran awal antara 4 hingga 4.8 peratus.

Menurut beliau, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong pertumbuhan guna tenaga, peningkatan upah serta langkah dasar kerajaan.

”Aktiviti pelaburan pula akan dipacu pelaksanaan projek sektor awam dan swasta, realisasi pelaburan yang diluluskan serta inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas(RMK13).

”Dari sudut luaran, pertumbuhan eksport akan disokong permintaan global yang stabil khususnya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), selain peningkatan ketibaan pelancong sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Sementara itu, inflasi keseluruhan pada tahun 2026 dijangka kekal sederhana berikutan kos global yang semakin mereda.

Prospek harga komoditi yang sederhana akan membantu membendung tekanan kos terhadap inflasi.

Inflasi teras diramal kekal stabil dan hampir kepada purata jangka panjang pada 2026, mencerminkan pengembangan kegiatan ekonomi yang berterusan tanpa tekanan yang berlebihan terhadap permintaan.

Pelaksanaan pembaharuan dasar domestik pada 2025, seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar, dijangka memberikan kesan sederhana terhadap inflasi pada tahun 2026.