279 jangkitan scabies dikesan dalam komuniti Orang Asli Gua Musang

Datuk Dr Mohd Azman pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Outreach Literasi Kesihatan Peringkat Daerah Gua Musang/Foto Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan

GUA MUSANG, 13 Februari – Sebanyak 279 kes wabak scabies atau kudis buta direkodkan dalam kalangan masyarakat Orang Asli di pedalaman Gua Musang sejak tahun lalu hingga kini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kes melibatkan penempatan Orang Asli di Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.
  • Scabies disebabkan hama Sarcoptes scabiei, menimbulkan kegatalan teruk dan mudah merebak.
  • Pencegahan penting untuk elak komplikasi seperti jangkitan sekunder yang berbahaya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, 199 kes direkodkan sepanjang tahun lalu manakala 80 kes lagi dikesan bermula Januari tahun ini.

Beliau berkata kes terbabit melibatkan penempatan Orang Asli di Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Bihai.

Menurutnya Pos Balar mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes manakala 14 kes di Kampung Chacuh, Pos Belatim.

Scabies berpunca daripada hama Sarcoptes scabiei yang menyebabkan kegatalan luar biasa serta mudah merebak.

“Tanda-tandanya kegatalan luar biasa hingga menjejaskan tidur dan jika tidak dirawat ia mudah merebak kepada ahli keluarga lain, terutama dalam kediaman yang padat. Luka akibat garuan boleh menyebabkan jangkitan sekunder yang serius hingga berisiko membawa maut,” katanya.

Jelas beliau tindakan pencegahan penting bagi mengelakkan komplikasi jangkitan.

Datuk Dr Mohd Azman berkata demikian pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Outreach Literasi Kesihatan peringkat daerah Gua Musang di Pos Hendrop.