Orang tengah jadi sasaran utama SPRM tangani rasuah

FOTO RTM

GENTING HIGHLANDS, 13 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan giat memburu orang tengah yang berperanan penting penggalak trend rasuah semakin berleluasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM akan fokus memburu orang tengah yang menghubungkan syarikat dan membentuk kartel mendapatkan projek kerajaan.
  • Orang tengah dan ejen disasarkan dalam semua operasi penguatkuasaan, termasuk kes perolehan.
  • SPRM menegaskan media bukan musuh; kewartawanan penyiasatan beretika dianggap rakan strategik.
  • Pelaporan sensasi dikecam kerana merosakkan kepercayaan dan mengganggu proses keadilan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata penglibatan orang tengah sebagai pengantara itu menyumbang kepada peningkatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan agensi kerajaan.

“Pendekatannya adalah untuk menekan ejen dan juga orang tengah dalam semua tugas penguatkuasaan di negara ini, termasuk dalam kes perolehan.

“Kita akan memberi fokus kepada orang tengah. Orang tengah yang membawa 10 atau 20 profil syarikat untuk masuk dan menjadi kartel bagi mendapatkan projek-projek kerajaan.

“Kita akan memberi fokus kepada orang tengah dan juga ejen yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan SPRM di sini pagi tadi.

Seramai 19 pengamal media daripada pelbagai agensi menyertai bengkel tiga hari anjuran SPRM yang bertujuan untuk memahami peranan SPRM dalam pencegahan dan usaha memerangi rasuah.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa SPRM tidak pernah menganggap media sebagai musuh.

Sebaliknya, kewartawanan penyiasatan yang beretika dan berfakta dilihat sebagai rakan strategik serta mekanisme semak dan imbang yang penting dalam demokrasi.

“SPRM menghormati peranan media sebagai ‘public watchdog’ (pemantau). Namun, kita mesti membezakan antara kewartawanan penyiasatan yang bertanggungjawab dengan pelaporan sensasi yang dibungkus sebagai “penyiasatan”.

“Kewartawanan penyiasatan yang bertanggungjawab memperkukuh demokrasi dan integriti. Tetapi pelaporan sensasi merosakkan kepercayaan dan mengganggu proses keadilan,” katanya lagi.