
GAZA, 13 Februari– Sumber perubatan Palestin melaporkan bahawa tentera Israel melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi di Gaza pada Khamis, mengakibatkan beberapa kematian dan kecederaan.
- Hamas komited kepada gencatan senjata tetapi tuduh Israel bertindak tanpa batasan.
- Hamas akan serahkan senjata hanya jika Israel patuhi perjanjian dan negara Palestin ditubuhkan.
- Hamas belum terima cadangan penuh perantara mengenai isu penyerahan senjata.
- Ketegangan berterusan halang pelaksanaan gencatan senjata dan menjejaskan penduduk serta infrastruktur Gaza.
Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, jumlah korban meningkat kepada 72,049 orang meninggal dunia dan 171,691 orang cedera, setakat ini.
Di Bandar Gaza, dua individu terbunuh akibat tembakan tentera Israel manakala beberapa lagi cedera manakala di wilayah tengah Gaza, empat individu lain cedera akibat tembakan.
Petugas penyelamat melaporkan tentera Israel menembak ambulans yang cuba sampai ke mangsa, sekali gus menyukarkan operasi menyelamat.
Sementara itu, Pegawai Hamas, Mahmoud Mardawi menyatakan bahawa kumpulan pejuang itu komited terhadap gencatan senjata tetapi menuduh Israel bertindak tanpa batasan.
Beliau menegaskan senjata Hamas hanya akan diserahkan sekiranya Israel mematuhi perjanjian gencatan senjata dan senjata tersebut akan ditempatkan di bawah pengurusan kerajaan Palestin selepas penubuhan negara Palestin.
Jurucakap Hamas, Hazem Qassem berkata sehingga kini kumpulan itu belum menerima cadangan penuh daripada pihak perantara gencatan senjata berhubung isu senjata.
Menurut beliau, penekanan terhadap isu senjata cuba menutup hakikat bahawa Israel menghalang pelaksanaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata.
Dalam pada itu, Menurut laporan The Times of Israel pada Selasa, Israel Defense Forces sedang merangka rancangan ofensif baharu di Gaza bagi melucutkan senjata Hamas secara paksa.
Serangan terbaharu itu menandakan ketegangan yang berterusan antara Israel dan Hamas, sementara usaha diplomatik bagi mengekalkan gencatan senjata masih menghadapi halangan.
Krisis yang berterusan di Gaza memberi impak serius kepada penduduk awam, infrastruktur dan operasi perubatan di wilayah tersebut. -REUTERS