
KANGAR, 13 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis memperketat pemeriksaan keselamatan di premis tumpuan awam, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
- Pemeriksaan keselamatan di premis tumpuan awam diperketat menjelang Tahun Baharu Cina dan Ramadan.
- Fokus pada sistem penggera, alat pemadam api dan laluan kecemasan bagi memastikan berfungsi dengan baik.
- Nasihat untuk pemilik premis: jangan letak barangan di laluan kecemasan atau pintu rintangan api.
- JBPM juga mengadakan pameran pendidikan keselamatan kebakaran dan aktiviti komuniti seperti pertandingan mewarna.
Ini susulan peningkatan stok barangan jualan, yang dikenal pasti antara faktor berisiko kebakaran merebak dengan pantas jika berlaku litar pintas atau kecuaian.
Pemeriksaan dijalankan di lokasi berkepadatan tinggi bagi memastikan sistem penggera, alat pemadam api dan laluan kecemasan berfungsi dengan baik.
“Di bangunan ni, dia ada pemasangan keselamatan kebakaran, jadi kita hendak memastikan sistem yang ada di bangunan tersebut berfungsi dengan baik. Kita juga akan menjalinkan kerjasama dengan pihak pihak berkaitan bagi memberi kesedaran awam dan pada masa sama kita menjalankan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui media pada Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Siaga Tahun Baharu Cina 2026 di Kangar Jaya.
Setakat ini, tiada insiden kebakaran besar dilaporkan.
Bagaimanapun, beliau menasihati pemilik premis agar tidak meletakkan barangan di laluan kecemasan atau pintu rintangan api, kerana boleh menghalang laluan keluar sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
Dalam kempen keselamatan tersebut, JBPM turut mengadakan pameran Asas Keselamatan Kebakaran dan Kelab Bomba Cilik di sebuah pusat beli belah.
Turut dianjurkan, pertandingan mewarna yang disertai 219 murid daripada 19 tadika.