
KUALA LUMPUR, 13 Februari – Pengukuhan ringgit yang mencecah paras RM3.89 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) membuktikan pengurusan dasar fiskal negara dilaksanakan secara berdisiplin dan teratur.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, perkembangan itu turut mencerminkan keupayaan kerajaan mengekalkan kestabilan kewangan negara serta mengawal kadar inflasi.
- Pengukuhan ringgit cerminkan dasar fiskal berdisiplin dan pengurusan kewangan negara yang teratur.
- Nilai mata wang lebih kuat membantu PKS dengan mengurangkan kos pembuatan dan pembelian bahan mentah.
- Isi rumah mendapat manfaat melalui peningkatan kuasa beli dan pengurangan beban kos sara hidup.
- Pelaksanaan RMK13 dan fokus nilai tambah dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi dan pengukuhan ringgit.
“Saya melihat pengukuhan ringgit sebagai satu perkembangan positif bagi permulaan tahun 2026.
“Pengukuhan ini memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan di Malaysia kerana kos pembuatan dan kos pembelian bahan mentah akan menurun.
“Keadaan ini menjadikan produk tempatan lebih kompetitif daripada segi harga,” katanya kepada pemberita RTM.
Tambah beliau, pengukuhan mata wang tempatan itu juga memberi manfaat kepada isi rumah dalam meningkatkan kuasa beli rakyat dan meringankan kos sara hidup.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan nilai tambah dalam setiap sektor industri juga dijangka menyokong pengukuhan ringgit untuk mencecah RM3.80 sebagai paras psikologi baru.
“Apabila sektor ekonomi semakin kukuh serta teknologi dan nilai tambah diterapkan dalam setiap proses pembuatan, tidak mustahil bagi syarikat mencatat pulangan yang lebih tinggi.
“Pada masa yang sama, produktiviti turut meningkat dan negara memperoleh hasil yang lebih besar.
“Keadaan itu seterusnya mampu merangsang pertumbuhan ekonomi serta mengukuhkan nilai mata wang negara,” katanya lagi.
Ringgit melonjak ke paras tertinggi baharu RM3.89 berbanding dolar AS, iaitu paras tertinggi dalam tempoh hampir lapan tahun.
Kali terakhir ringgit berada pada paras tersebut adalah pada 23 April 2018.