Buang puntung rokok di tempat awam, buruh didenda RM1,500

Grafik RTM

KUALA LUMPUR, 11 Februari – Seorang buruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang buruh didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam.
  • Hakim memerintahkan hukuman penjara sebulan jika denda gagal dibayar dan khidmat masyarakat empat jam dalam sebulan.
  • Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang pada 1 Jan 2026, sekitar 10.39 malam.
  • Pertuduhan di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007; denda maksimum RM2,000 dan perintah khidmat masyarakat.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Ajmal Haziq Zulkarnain, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan OKS menjalani khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh sebulan.

Lelaki itu didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam atau jalan awam dan bukan dalam bekas yang diperuntukkan bagi membuang sisa pepejal tersebut, di hadapan sebuah restoran di Bukit Bintang di sini, pada 10.39 malam, 1 Jan 2026.

Pertuduhan mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 dan sebagai tambahan, boleh dikenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam secara agregat dalam tempoh maksimum enam bulan dan selama bilangan jam tertentu setiap hari tidak melebihi empat jam sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), A’ala Shah Md Yusop memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan orang awam tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat awam.

Bagaimanapun, Ajmal Haziq yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan selain mengakui kesalahan dilakukannya. – BERNAMA