
SUNGAI BULOH, 11 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan pengurangan kadar kemalangan maut dan jumlah kematian di jalan raya sekurang-kurangnya lima peratus sepanjang pelaksanaan OP Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula 15 hingga 20 Februari ini.
- Sasaran pengurangan sekurang-kurangnya lima peratus kadar kematian jalan raya semasa OP Selamat 25.
- Fokus OP Selamat 25 pada enam kesalahan utama penyumbang kemalangan maut.
- Aktivasi 32 lokasi smart lane dan persiapan logistik untuk melancarkan aliran trafik perayaan.
- 6,543 anggota digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti 24 jam.
Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, sasaran berkenaan digariskan susulan jangkaan peningkatan aliran trafik dan pergerakan keluar masuk bandar yang ketara berikutan pertindihan sambutan Tahun Baharu Cina dan ketibaan Ramadan.
“Kita menjangkakan sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan yang jatuh dalam tempoh berdekatan akan menyebabkan peningkatan aliran trafik. Ini sekali gus menambah kesesakan di lebuh raya utama, khususnya laluan menuju ke utara, timur dan selatan.
“Kami telah membuat persiapan rapi dari segi keanggotaan, logistik serta kemudahan di kawasan rehat dan rawat. Kerjasama antara PLUS, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan polis trafik juga diperkukuhkan bagi memastikan pergerakan orang ramai lebih lancar serta tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku kesesakan atau kemalangan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri sempena Majlis Pelancaran OP Selamat 25 di Restoran Jejantas Sungai Buloh (Arah Utara) di sini, hari ini.
Lebih 2.8 juta kenderaan dijangka menggunakan rangkaian lebuh raya utama di seluruh negara sepanjang tempoh perayaan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan sekiranya aspek keselamatan diabaikan
“OP Selamat 25 memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama kemalangan maut antaranya, memandu melebihi had laju, memotong secara berbahaya, menggunakan telefon bimbit, menyalahgunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat serta memandu dalam keadaan letih atau mengantuk,” jelasnya.
Bagi melancarkan aliran trafik, sebanyak 32 lokasi smart lane akan diaktifkan di lokasi strategik dan pengguna dinasihatkan supaya peka dengan papan tanda sebelum menggunakan lorong itu.
Selain keselamatan jalan raya, PDRM turut meningkatkan pencegahan jenayah pecah rumah dengan menggerakkan 6,543 anggota melibatkan 2,670 unit kenderaan peronda (MPV) dan 1,800 unit motosikal (URB) bagi rondaan berterusan di kawasan perumahan, premis perniagaan dan pusat tumpuan awam sepanjang tempoh itu.
“Rondaan 24 jam secara syif melibatkan 1,129 kawasan di seluruh negara dengan fokus di lokasi hot spot yang dikenal pasti melalui Sistem Pemantauan Bandar Selamat (SPBS),” tambahnya.
Dalam pada itu orang ramai yang pulang ke kampung dinasihatkan melaporkan pergerakan mereka di balai polis berhampiran atau secara dalam talian melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membolehkan rondaan keselamatan dirancang secara lebih berkesan.
OP Selamat 25 dilaksanakan dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad, PERKESO, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan St. John Ambulance selari dengan slogan ‘Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan’ dan ‘Keselamatan Diutamakan’.