Set tren ECRL tiba di Malaysia

Loke dan Datuk Fahmi melakukan gimik perasmian tren elektrik pelbagai gerabak (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) di Stesen ECRL di sini. Foto/BERNAMA

KUANTAN, 11 Februari – Pembinaan Projek ECRL sepanjang 665 kilometer kini telah mencapai kemajuan 91.70 peratus setakat Januari 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek ECRL 665 km capai 91.70% siap setakat Januari 2026.
  • Fasa operasi komersial EMU dan E-Loco disasarkan bermula Januari 2027.
  • Dua set EMU dan dua E-Loco pertama telah tiba di Malaysia.
  • Penerimaan tren dan E-Loco dianggap pencapaian penting projek.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kemajuan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, tumpuan kini beralih kepada persiapan bagi fasa pengoperasian komersial tren Electric Multiple Units (EMU) dan lokomotif elektrik (E-Loco) yang dijadualkan bermula pada Januari 2027.

Projek infrastruktur bernilai RM50.27 bilion itu memperuntukkan 11 set tren EMU dan 12 buah E-Loco dengan dua set tren EMU dan dua E-Loco kini telah tiba di Malaysia.

“Keseluruhannya ECRL ini ada 11 train EMU. Jadi dua set pertama telah pun tiba di Malaysia. Hari ini secara rasminya kita menerima tren pertama itu dan E-Loco pertama.

“Ini menandakan bahawa projek ECRL telah mencapai satu titik pencapaian yang penting untuk keseluruhan projek,” katanya

Loke menyatakannya selepas Majlis Peluncuran Khas Ketibaan Golden TrenEMU & E-Loco Projek ECRL dan Penyerahan Surat Lantikan Penyedia Infrastruktur Rangkaian Mudah Alih Jajaran ECRL di sini.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.