
TAIPING, 11 Februari – Sebanyak 2,002 pemeriksaan keselamatan kebakaran dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sepanjang tahun 2025 melibatkan pelbagai jenis bangunan dan premis di seluruh negeri.
- JBPM Perak melaksanakan 2,002 pemeriksaan keselamatan kebakaran sepanjang 2025 ke atas pelbagai jenis premis.
- 680 notis keselamatan kebakaran dikeluarkan kepada pemilik premis yang gagal mematuhi keperluan keselamatan.
- Kebakaran banyak berpunca daripada kecuaian manusia; fokus kempen pada premis berisiko tinggi seperti kediaman, hotel dan resort.
Daripada jumlah itu, sebanyak 680 notis keselamatan kebakaran dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati gagal mematuhi keperluan keselamatan yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah JBPM Perak, Yusri Mohd Yusoff@Hashim berkata, bagi tempoh 2025 hingga awal 2026, sebanyak 3,995 kes kebakaran direkodkan di negeri itu.
“Pada tahun 2025 dan sehingga awal 2026, terdapat 3,995 kes kebakaran direkodkan dengan 17 mangsa berjaya diselamatkan.
“Untuk kempen kali ini, kita memberi tumpuan kepada premis berisiko tinggi atau ‘sleeping risk’ seperti rumah kediaman, hotel dan resort kerana berdasarkan statistik, kebakaran kediaman mencatatkan jumlah tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Pelancaran Kempen Kesedaran Kebakaran dan Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran Musim Perayaan (Ops Siaga Raya) di Taiping Mall, hari ini.
Menurutnya, kebanyakan kes kebakaran yang direkodkan berpunca daripada kecuaian manusia, justeru orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memastikan langkah keselamatan dipatuhi terutama menjelang musim perayaan.