Dana PEMACU 2.0 perkasa teknologi capai TRL tinggi

FOTO Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

PUTRAJAYA, 11 Februari – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) 2.0 sebagai usaha untuk mempercepat pembangunan, penskalaan dan pengkomersialan teknologi tempatan berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PEMACU 2.0 memberi pembiayaan melalui SRF dan TeD untuk teknologi dengan TRL 4 ke atas.
  • Sasaran: sekurang-kurangnya separuh teknologi capai TRL 8 hingga 9 dan 50% harta intelek didaftarkan.
  • Struktur semula program fokus atasi "Valley of Death" untuk sokongan pembangunan eksperimen dan penskalaan.
  • RMKe-13 menekankan penyelidikan misi, penskalaan PKS berteknologi dan pembangunan bakat STI.

Menterinya Datuk Chang Lih Kang berkata, sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk dua skim pembiayaan utama iaitu Strategic Research Fund (SRF) yang menawarkan pembiayaan sehingga RM10 juta serta Technology Development Fund (TeD) dengan pembiayaan sehingga RM4 juta.

“Kedua-dua skim ini memberi tumpuan kepada projek yang telah mencapai Technology Readiness Level (TRL) 4 dan ke atas, sekali gus memastikan hanya teknologi yang benar-benar berpotensi untuk dikomersialkan diberi sokongan agar dapat dibawa ke peringkat pasaran dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) 2.0 di Putrajaya.

Melalui inisiatif ini, MOSTI menyasarkan sekurang-kurangnya separuh daripada teknologi yang dibangunkan mampu mencapai TRL 8 hingga 9, selain 50 peratus harta intelek didaftarkan dan peningkatan ketara dalam kolaborasi bersama industri.

Sepanjang Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), sebanyak 170 projek telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM379 juta.

Namun, kerajaan mengakui, cabaran utama bukan hanya menghasilkan inovasi, tetapi memastikan inovasi tersebut berjaya dikomersialkan.

Justeru, PEMACU 2.0 distruktur semula bagi menangani jurang kritikal yang sering dirujuk sebagai “Valley of Death”, iaitu fasa di mana banyak teknologi gagal berkembang akibat kekurangan sokongan pada peringkat pembangunan eksperimental dan penskalaan produk.

Melalui pendekatan baharu berteraskan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), MOSTI mahu mempercepat peralihan teknologi ke tahap kesiapsiagaan pasaran yang lebih tinggi.

Bermula Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), tumpuan akan diberikan kepada penyelidikan berteraskan misi, penskalaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana berteknologi serta pembangunan bakat sains, teknologi dan inovasi negara.