
KUALA LUMPUR, 11 Februari – Latihan kemahiran berasaskan keperluan industri serta penglibatan sektor swasta dikenal pasti sebagai antara pendekatan utama bagi memastikan peningkatan gaji pekerja dapat dilaksanakan secara progresif, berpatutan dan selari dengan tahap kemahiran tenaga kerja tempatan.
- Latihan kemahiran demand-driven diperkukuh dengan inisiatif berasaskan data untuk sejajar dengan kehendak industri.
- Pemerkasaan NOSS diselaraskan mengikut keperluan semasa industri dan unjuran pekerjaan masa depan.
- Penglibatan sektor swasta melalui ADI dan 18 Majlis FSTC mengetuai reka bentuk serta pemilihan pusat latihan berimpak tinggi.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, strategi berkenaan dilaksanakan bagi menyokong pertumbuhan pendapatan isi rumah secara mampan, di samping memperkukuh pelaksanaan Dasar Gaji Progresif.
“Antara strategi utama yang dilaksanakan adalah memperkukuh pembangunan kemahiran berasaskan keperluan sebenar industri melalui pendekatan demand-driven training dengan memperkenalkan beberapa inisiatif baharu berasaskan data serta permintaan industri.
“Standard kemahiran pekerjaan kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) turut diperkasakan berdasarkan keperluan semasa industri serta unjuran pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.
Selain itu katanya, latihan berasaskan tempat kerja dan penglibatan aktif industri diperkukuh melalui penambahbaikan Program Akademi Dalam Industri (ADI) yang dilaksanakan secara kolaboratif bersama sektor swasta.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambah beliau, bagi memastikan pembangunan bakat yang lebih tersasar dan berimpak tinggi, sebanyak 18 Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) telah diterajui oleh pemain industri.
Katanya, FSTC berperanan memastikan reka bentuk program latihan serta pemilihan pusat latihan dilaksanakan secara strategik dan selari dengan keperluan sebenar pasaran kerja semasa.