Protes antikerajaan di Albania bertukar kekerasan, tuntut pemecatan Balluku

Foto REUTERS

TIRANA, 11 Februari– Penunjuk perasaan antikerajaan bertembung dengan polis di ibu kota Albania, Tirana, pada Selasa (10 Februari) ketika ribuan orang berhimpun menuntut peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri, Belinda Balluku berhubung dakwaan rasuah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan melempar bom petrol ke arah bangunan kerajaan dan polis membalas dengan meriam air.
  • Protes mencetuskan ancaman kestabilan kepada kerajaan Perdana Menteri Edi Rama sejak 2013.
  • Unit pendakwaan khas mendakwa Balluku campur urusan tender, memohon parlimen tangguhkan imuniti untuk penangkapan.

Penunjuk perasaan melempar bom petrol ke arah sebuah bangunan kerajaan manakala polis bertindak balas menggunakan meriam air.

Kejadian itu merupakan siri protes ganas terkini yang menimbulkan ancaman kepada kestabilan kuasa Perdana Menteri, Edi Rama, yang memegang tampuk pemerintahan sejak 2013.

Ketegangan politik meningkat sejak Disember selepas unit pendakwaan khas mendakwa Balluku, mencampuri urusan tender awam projek infrastruktur besar dan memberi kelebihan kepada syarikat tertentu.

Bagaimanapun, Balluku menafikan semua tuduhan tersebut.

Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di dataran utama Tirana, membawa bendera dan sepanduk sambil menjerit “Rama pulang, kerajaan korup ini mesti letak jawatan”.

Pasukan polis khas bersenjata lengkap mengawal bangunan kerajaan.

Pejabat Pendakwaan Khas, yang ditugaskan memerangi rasuah dan jenayah terancang, telah memohon agar parlimen menanggalkan imuniti Balluku minggu ini bagi membolehkan penangkapannya dilakukan. -REUTERS