
BUENOS AIRES, 11 Februari– Kerajaan Presiden Argentina, Javier Milei mencadangkan reformasi besar undang-undang buruh bagi menarik pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, namun, tindakan itu mencetuskan bantahan keras daripada kesatuan sekerja.
- Cadangan undang-undang buruh didakwa menghakis hak pekerja, termasuk mengehadkan tuntutan pemecatan tidak adil.
- Kesatuan sekerja merancang demonstrasi besar, memberi amaran ketegangan sosial boleh meningkat.
- Kerajaan kata reformasi untuk memodenkan pasaran buruh dan mengurangkan pekerjaan tidak formal.
Cadangan yang menjadi teras dasar ekonomi berorientasikan pasaran bebas itu didakwa menghakis hak pekerja, termasuk mengehadkan tuntutan pemecatan tidak adil serta menyekat tindakan mogok.
Senat Argentina dijadual membahaskan rang undang-undang berkenaan pada Rabu manakala kesatuan sekerja merancang demonstrasi besar bagi membantah cadangan tersebut.
Sekiranya diluluskan, reformasi itu akan menjadi langkah penting dalam agenda rombakan ekonomi Milei.
Bagaimanapun, kegagalannya dijangka melemahkan hala tuju dasar kerajaan.
Kesatuan sekerja memberi amaran ketegangan sosial boleh meningkat, dengan mendakwa undang-undang itu mengehadkan kuasa mereka dalam pertikaian tempat kerja dan mewajibkan kebenaran bagi mengadakan mesyuarat.
Presiden Persatuan Pekerja Awam, Rodolfo Aguiar berkata keberkesanan mogok akan terjejas apabila sektor penting diwajibkan mengekalkan 50 hingga 75 peratus perkhidmatan semasa mogok.
Kerajaan mempertahankan cadangan itu sebagai usaha pemodenan pasaran buruh bagi memperluas pekerjaan formal, memandangkan lebih 40 peratus tenaga kerja Argentina masih berada dalam sektor tidak formal.
Cadangan itu turut membenarkan kerja lebih masa diganti dengan cuti rehat. -REUTERS