Pelaksanaan APB diperkasa, RM17.52 juta disalur tingkat daya saing tanaman

Foto BERNAMA

BANGI, 11 Februari– Pelaksanaan Amalan Pertanian Baik (APB) bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik bagi memastikan hasil pertanian negara kekal berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • RM17.52 juta diperuntukkan untuk Projek Pembangunan Pemberdayaan Makanan Selamat bagi subsektor tanaman.
  • Fokus projek: pembiayaan bersasar, naik taraf fasiliti, teknologi hijau, pensijilan ISO dan latihan pemindahan teknologi.
  • Pengamalan APB melalui pensijilan myGAP dan myOrganic diiktiraf antarabangsa untuk mengekalkan daya saing produk pertanian.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, selaras pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kementerian menerusi Jabatan Pertanian telah meluluskan peruntukan berjumlah RM17.52 juta bagi Projek Pembangunan Pemberdayaan Makanan Selamat melalui Amalan Baik Subsektor Tanaman.

Menurut beliau, projek berkenaan memberi tumpuan kepada pembiayaan bersasar, naik taraf fasiliti ladang, penerapan teknologi hijau, pensijilan ISO serta pelaksanaan latihan dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan daya saing subsektor tanaman.

“Amalan pertanian baik bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik. Pelaksanaannya melalui pensijilan myGAP dan myOrganic telah lama menjadi teras kepada program pengembangan Jabatan Pertanian serta diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk selari dengan ASEAN GAP.”

“Ini membuktikan bahawa amalan pertanian baik merupakan satu standard global yang perlu dipatuhi sekiranya kita mahu produk pertanian negara kekal kompetitif,” katanya pada Seminar Kebangsaan Amalan Pertanian Baik Malaysia Subsektor Tanaman Tahun 2026, di sini, malam tadi.

Seminar berkenaan menghimpunkan lebih 300 usahawan tani serta pegawai pengembangan dari seluruh negara.

Program anjuran Jabatan Pertanian itu turut menjadi platform strategik bagi memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan industri dalam menjayakan agenda kedaulatan makanan negara, selaras dengan tema Amanat Menteri KPKM 2026, “Memperkukuh Kedaulatan Makanan, Membina Daya Tahan Negara.”