
KUANTAN, 10 Februari – Pembinaan balai bomba di Pulau Tioman kini menunggu penyelesaian urusan tanah sebelum projek dapat dimulakan.
- Urusan tanah Pulau Tioman sedang diselesaikan sebelum pembinaan balai bomba dimulakan.
- Perkembangan lanjut dan butiran projek akan diumumkan selepas urusan tanah dimuktamadkan.
- Keutamaan pembinaan berdasarkan Indeks Risiko Kebakaran untuk lokasi berisiko tinggi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata proses berkaitan tanah sedang diselesaikan dan perkembangan lanjut akan diumumkan selepas dimuktamadkan.
“Urusan tanah di Pulau Tioman sedang dalam proses penyelesaian. Apabila ia dimuktamadkan, saya percaya kita akan menerima berita baik dalam masa terdekat. Perinciannya akan saya maklumkan kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat rumah pangsa Alor Akar pada Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 Tahun 2026, di sini.
Nga berkata pembinaan balai bomba bergantung kepada Indeks Risiko Kebakaran yang diguna pakai di seluruh negara.
Keutamaan diberikan kepada lokasi dikenal pasti mempunyai tahap risiko kebakaran yang tinggi.
Tahun lalu, media melaporkan sebuah Balai Bomba dan Penyelamat hibrid dicadang dibina berhampiran Taman Laut Pulau Tioman bagi membolehkan operasi darat dan laut dilaksanakan serentak.