
TEHRAN, 10 Februari – Iran memberi amaran tentang pengaruh Israel boleh merosakkan diplomasi antara Amerika Syarikat dengan Tehran, menjelang lawatan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Washington.
- Iran amaran pengaruh Israel boleh merosakkan rundingan antara Tehran dan Washington.
- Tehran tekan Amerika bertindak bebas dari tekanan dan pengaruh merosakkan rantau.
- Iran kekal fokus pada isu nuklear sebagai pertukaran untuk kelonggaran sekatan AS.
- Teheran tolak rundingan yang melangkaui isu nuklear walaupun tuntutan Israel berbeza.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baqaei menegaskan bahawa Rejim Zionis berulang kali bertindak sebagai pensabotaj dengan menentang sebarang proses diplomatik di rantau Asia Barat.
“Pihak rundingan kami ialah Amerika. Terpulang kepada Amerika untuk bertindak secara bebas daripada tekanan dan pengaruh yang merosakkan dan memudaratkan rantau ini,” katanya.
Tehran dan Washington menyambung semula rundingan di Muscat pada Jumaat, beberapa bulan selepas rundingan terdahulu runtuh, susulan kempen pengeboman Israel terhadap Iran pada Jun lalu, yang mencetuskan perang selama 12 hari.
Semasa konflik itu, Israel menyasarkan pegawai kanan tentera Iran, saintis nuklear dan tapak nuklear, serta kawasan kediaman.
Amerika Syarikat kemudian menyertai kempen tersebut, melancarkan sendiri serangan terhadap kemudahan nuklear utama Iran.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta dengan menyasarkan pangkalan tentera AS terbesar di Asia Barat, yang terletak di Qatar.
“Peristiwa pada Jun adalah pengalaman yang sangat buruk. Oleh itu, dengan mengambil kira pengalaman ini, kami bertekad untuk menjamin kepentingan negara Iran melalui diplomasi,” kata Baqaei.
Beliau menegaskan tumpuan Iran akan kekal sepenuhnya pada isu nuklear sebagai pertukaran terhadap kelonggoran sekatan oleh AS.
Namun, Teheran berulang kali mengatakan bahawa ia menolak sebarang rundingan yang melangkaui isu itu.
Pada Sabtu, pejabat Netanyahu berkata dalam satu kenyataan bahawa Perdana Menteri Israel itu percaya sebarang rundingan mesti merangkumi had ke atas peluru berpandu balistik dan penghentian sokongan kepada paksi Iran di rantau berkenaan. – AFP