
KUALA LUMPUR, 7 Februari – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan sehingga menjejaskan ketenteraman awam dan memecahbelahkan rakyat.
- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perhimpunan yang menjejaskan ketenteraman awam dan memecahbelahkan rakyat.
- PDRM bersedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencetuskan kekacauan atau menggugat keselamatan.
- Orang ramai diingatkan jaga adab komunikasi dan elak penyebaran kandungan 3R yang boleh dikenakan denda besar.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman, namun ia tidak boleh disalahgunakan sehingga menggugat perpaduan dan keselamatan negara.
“Sebagai rakyat Malaysia, mereka berhak untuk berhimpun secara aman, tapi jangan sampai menjurus ke arah merosakkan perpaduan, memecahbelahkan rakyat dan cuba menggugat ketenteraman awam apatah lagi pada ketika kita akan menyambut ketibaan tetamu negara,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Sumbangan di Taman Sri Sentosa.
Menurut Datuk Fahmi, beberapa kenyataan telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Ketua Polis Kuala Lumpur dan Kementerian Dalam Negeri yang memberi peringatan jelas berhubung perkara tersebut.
Katanya, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan.
“Mesej daripada Perdana Menteri jelas bahawa pihak kerajaan, khususnya PDRM, bersedia untuk mengambil tindakan yang sangat tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya.
Beliau pada masa sama turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga adab dan tatasusila dalam komunikasi termasuk dalam media sosial.
Elak daripada menyebarkan kandungan berunsur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang boleh dikenakan tindakan denda sehingga RM500,000.