Krisis tenaga meruncing, Cuba umum langkah kecemasan

Foto AFP

HAVANA, 7 Februari – Kerajaan Cuba pada Jumaat mengumumkan langkah kecemasan bagi menangani krisis tenaga yang meruncing, termasuk kerja empat hari seminggu untuk syarikat milik kerajaan, sekatan penjualan bahan api, pengurangan perkhidmatan bas dan kereta api, serta penutupan beberapa premis pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan umum langkah kecemasan termasuk kerja empat hari untuk syarikat milik kerajaan dan sekatan penjualan bahan api.
  • Pengurangan perkhidmatan bas dan kereta api serta penutupan beberapa premis pelancongan untuk menjimatkan bahan api.
  • Sumber bahan api dikhaskan untuk perkhidmatan penting, pengeluaran makanan, elektrik dan aktiviti menjana mata wang asing.
  • Cuba menyalahkan sekatan Amerika Syarikat, tetapi sedia mengadakan rundingan dengan syarat hormati kedaulatan.

Timbalan Perdana Menteri Cuba, Oscar Perez‑Oliva Fraga menyalahkan Amerika Syarikat atas krisis itu, sambil menegaskan bahan api akan digunakan untuk menjamin perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi asas.

Langkah itu juga bertujuan menjimatkan bahan api untuk pengeluaran makanan dan elektrik, serta mengekalkan aktiviti yang menjana mata wang asing.

Jelas Fraga, sekolah akan memendekkan hari pembelajaran manakala universiti mengurangkan keperluan kehadiran fizikal pelajar.

Keputusan itu dibuat ketika negara itu yang mempunyai populasi seramai 9.6 juta penduduk, sedang bergelut dalam krisis ekonomi enam tahun di bawah sekatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sejak 1962.

AS baru-baru ini menghentikan penghantaran minyak dari Venezuela dan memberi amaran kepada Mexico untuk menghentikan bekalan minyak ke Cuba dengan mengancam tindakan tarif.

Kekurangan bekalan minyak menjejaskan operasi loji jana kuasa, meningkatkan risiko gangguan bekalan elektrik yang meluas di Cuba.

Presiden Cuba Miguel Díaz‑Canel berkata negara itu bersedia mengadakan rundingan dengan AS tetapi menegaskan perbincangan mesti berlaku “dengan adil, menghormati kedaulatan dan tiada campur tangan dalam urusan dalaman. -AFP