Bank Rakyat lancar platform AI Fiqh berteraskan syariah

Pelancaran AI Fiqh Scholar Version memperkukuh integrasi teknologi dan syariah/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Bank Rakyat melancarkan AI Fiqh Scholar Version, sebuah platform kecerdasan buatan (AI) berteraskan syariah bagi memperkukuh integrasi teknologi digital dan prinsip syariah dalam kewangan Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bank Rakyat lancar AI Fiqh Scholar Version untuk memperkukuh integrasi teknologi digital dengan prinsip syariah dalam kewangan Islam.
  • Platform menjamin ketulenan dan kesahihan sumber rujukan syariah tanpa unsur fabrikasi maklumat.
  • 8% yuran langganan disalurkan ke Dana Wakaf Tunai Bank Rakyat selama lima tahun bagi menyokong inisiatif wakaf.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata platform itu menawarkan penyelesaian teknologi AI yang menjamin ketulenan serta kesahihan sumber rujukan syariah tanpa unsur fabrikasi maklumat.

“Sebagai institusi kewangan pembangunan patuh syariah, Bank Rakyat percaya tanggungjawab institusi kewangan bukan hanya tertumpu kepada penyediaan penyelesaian kewangan, malah merangkumi usaha memperkasa nilai syariah, memperkukuh tadbir urus serta memastikan inovasi memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak lapan peratus daripada yuran langganan AI Fiqh akan disalurkan ke Dana Wakaf Tunai Bank Rakyat bagi tempoh lima tahun untuk menyokong inisiatif pelaburan wakaf serta projek berasaskan wakaf.

Katanya langkah itu sekali gus memberi limpahan manfaat kepada masyarakat dan membuktikan teknologi serta syariah mampu digabungkan bagi menghasilkan impak lebih besar dalam dunia digital.

Beliau berkata ketika ini AI Fiqh digunakan oleh pengguna dari 72 negara termasuk Jerman, Mesir, Malaysia, Indonesia dan Arab Saudi yang mencerminkan penerimaan global terhadap solusi teknologi kewangan Islam berteraskan syariah.

Pelancaran platform yang dibangunkan bersama rakan strategik, Fiqh Tech Sdn Bhd disempurnakan Ahmad Shahril Mohd Shariff.