
TOKYO, 7 Februari- Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo menasihatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada ketika berada atau melakukan perjalanan di beberapa wilayah di Jepun susulan cuaca buruk berikutan salji lebat.
- Wilayah terjejas termasuk Hokkaido, Tohoku, Kanto Koshin, Tokai, Hokuriku, Kinki, Chugoku dan beberapa bahagian Kyushu serta Amami.
- Rakyat Malaysia diminta pantau perkembangan cuaca, patuhi arahan pihak berkuasa dan ambil langkah berjaga-jaga di kawasan terjejas.
- Hubungi Kedutaan Malaysia di Tokyo untuk kecemasan: pejabat, nombor kecemasan dan alamat e-mel disediakan.
“Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran dan nasihat cuaca di seluruh negara itu berkuat kuasa mulai 8.06 pagi (waktu tempatan) pada 6 Februari 2026,” menurut kenyataan.
Wilayah terlibat merangkumi Hokkaido, Tohoku, Kanto Koshin, Tokai, Hokuriku, Kinki, Chugoku, Shikoku, Kyushu Utara termasuk Yamaguchi, Kyushu Selatan dan Kepulauan Amami.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan memantau perkembangan cuaca terkini, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di kawasan terjejas.
“Sekiranya berlaku kecemasan, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo:
Pejabat: +81-3-3476-3840 (waktu pejabat)
Kecemasan: +81-80-4322-3366
E-mel: consular.tyo@kln.gov.my | mwtokyo@kln.gov.my,” menurut kenyataan.
Menurut laporan agensi berita Reuters, ribut salji melanda Hokkaido pada Jumaat apabila sistem tekanan rendah yang semakin kuat membawa hembusan angin sehingga 35.6 meter sesaat di Cape Soya.
Keadaan itu turut menyebabkan fenomena ‘whiteout’, sekali gus mengurangkan jarak penglihatan dengan ketara di seluruh wilayah.
Dalam masa sama, sekurang-kurangnya 30 orang maut dan 324 lagi cedera akibat salji lebat yang melanda sepanjang pantai Laut Jepun dalam tempoh dua minggu lepas, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Jepun pada Selasa.
Kebanyakan kematian melibatkan individu yang cuba membersihkan salji setinggi sehingga tiga meter di sekitar kediaman mereka.