
PUTRAJAYA, 6 Februari– Malaysia telah menghantar lebih setengah juta naskhah al-Quran beserta terjemahan pelbagai bahasa ke lebih 40 buah negara melalui inisiatif Solidariti Wakaf Sejuta Al-Quran yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2023.
- Malaysia menghantar lebih 500,000 naskhah Al-Quran beserta terjemahan ke lebih 40 negara sebagai usaha dakwah dan amanah global.
- Penghantaran terbaru melibatkan 40,000 naskhah terjemahan dalam Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol Eropah dan Sepanyol Latin.
- Dilancarkan juga platform digital Global Wakaf Al-Quran untuk memudahkan sumbangan wakaf dan menyokong kesinambungan program.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu bukan sekadar misi logistik semata sebaliknya satu amanah dan dakwah negara melalui pendekatan yang rahmah di peringkat global.
“Al-Quran membawa rahmah kepada negara kita dan barakah kepada rakyat. Pendekatan yang kita bawa adalah untuk menyampaikan mesej yang penuh rahmah dan kasih sayang.”
“Kita ingin memastikan pendekatan ini tidak bersifat marah-marah, sebaliknya selaras dengan tuntutan Al-Quran dan Sunnah serta seiring dengan prinsip negara MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Peluncuran 2 Kontena Penghantaran Al-Quran dan Terjemahan ke Amerika Syarikat (Washington), Ivory Coast dan Ghana.
Penghantaran itu melibatkan 40,000 naskhah terjemahan dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Sepanyol Eropah dan Sepanyol Latin.
Sementara itu, terjemahan Bahasa Iban dijangka dicetak dalam tempoh 2 hingga 3 bulan akan datang, termasuk baki 300,000 naskhah yang akan dicetak pada tahun ini manakala selebihnya akan disimpan dan diedar secara berperingkat susulan permintaan yang tinggi.
Terdahulu, beliau turut merasmikan pelancaran platform digital Global Wakaf Al-Quran (GWAQ), satu inisiatif Yayasan Restu bersama ToyyibPay bagi menyokong kesinambungan usaha wakaf Al-Quran secara global serta memperkukuh ekosistem pembayaran dan sumbangan wakaf Al-Quran digital.
Hadir sama ialah Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr. Abdul Latiff Mirasa dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail.