
KUALA LUMPUR, 5 Februari- Agenda reformasi institusi perlu dilaksanakan secara berterusan dan tidak terikat kepada kitaran politik bagi memastikan integriti tadbir urus negara terpelihara dalam jangka panjang.
- Reformasi institusi mesti dilaksanakan berterusan dan tidak terikat kepada kitaran politik.
- Perkukuhan sistem diperlukan supaya integriti tidak bergantung kepada individu semata-mata.
- Komitmen melawan rasuah dan dasar konsisten meningkatkan keyakinan serta pelaburan asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan kekal optimis untuk meneruskan agenda reformasi institusi dengan penekanan terhadap pembinaan sistem yang kukuh, bukan bergantung kepada individu semata-mata.
“Kerajaan sedang memperkukuh institusi-institusi supaya integriti tidak bergantung kepada personaliti, sebaliknya bertunjangkan sistem yang mantap,” katanya.
Menurut beliau, undang-undang dan kerangka reformasi perlu mampu bertahan lebih lama daripada individu yang menerajui kepimpinan negara.
“Undang-undang mesti bertahan lebih lama berbanding individu. Reformasi mesti bertahan melangkaui kitaran politik,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di ibu negara, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menjelaskan bahawa komitmen berterusan kerajaan terhadap agenda reformasi institusi telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur terhadap pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, kesungguhan kerajaan membanteras jenayah rasuah juga menjadi faktor penting yang mengukuhkan kepercayaan pelabur.
“Usaha-usaha ini sudah menunjukkan hasil apabila pelabur memberikan maklum balas positif terhadap dasar kerajaan yang konsisten dan boleh dijangka,” katanya.
Beliau berkata pelabur kini melihat tadbir urus yang lebih tegas, hala tuju dasar yang jelas serta keseriusan negara dalam menjamin kestabilan jangka panjang.
“Perkara ini tercermin melalui keputusan pelaburan mereka serta penilaian semula terhadap risiko ekonomi Malaysia,” tambahnya.
Majlis Perasmian FEM 2026 turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.