Baki peruntukan SARA 2025 diagih semula kepada golongan sasar

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Februari– Kerajaan akan mengagihkan semula baki peruntukan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025 yang tidak dibelanja atau tidak dituntut kepada kumpulan sasar, termasuk mangsa keganasan rumah tangga, pelajar kurang upaya (OKU) dan berkeperluan khas, pesakit miskin serta bagi pengukuhan bank makanan dapur siswa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah berkenaan bertujuan memastikan dana awam dimanfaatkan secara telus, cekap dan bersasar, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

Menurut beliau, baki peruntukan SARA 2025 berjumlah RM150 juta yang tidak dibelanja atau dituntut sehingga 31 Disember 2025 akan diagihkan semula bagi memenuhi keperluan golongan tumpuan.

“Antaranya, pertama, penghuni pusat perlindungan khususnya mangsa keganasan rumah tangga di bawah KPWKM. Kedua, pelajar orang kurang upaya dan pelajar berkeperluan khas di bawah KPM.”

“Ketiga, pembelian peranti perubatan untuk pesakit miskin di bawah KKM dan keempat, penubuhan serta pengukuhan bank makanan dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah KPT,” kata Datuk Seri Amir Hamzah di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Tambah beliau, pendekatan itu melengkapkan usaha kerajaan dalam memperkukuh bantuan bersasar, di samping memastikan sokongan kebajikan dapat disalurkan secara berkesan kepada golongan rentan termasuk penghuni pusat perlindungan, pelajar berkeperluan khas, pesakit miskin serta inisiatif dapur siswa di institusi pengajian tinggi.

Majlis Konvensyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan