
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, dipengaruhi aktiviti pengambilan untung sederhana serta isyarat bercampur-campur daripada Wall Street semalaman.
- Pasaran dibuka rendah disebabkan aktiviti pengambilan untung sederhana dan isyarat bercampur dari Wall Street.
- Kaunter rugi mengatasi kaunter untung, dengan sejumlah besar kaunter tidak diniagakan atau digantung.
- Analisis menjangka aliran menaik jangka panjang disokong penilaian menarik dan aliran masuk dana asing.
- Prestasi pelbagai saham dan indeks bercampur; sektor kewangan meningkat manakala tenaga, perladangan dan industri merosot.
Pada 9.13 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.64 mata kepada 1,741.18 selepas dibuka 3.0 mata lebih tinggi pada 1,745.82 berbanding paras 1,742.82 ketika ditutup pada Rabu.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 227 berbanding 116, manakala 318 kaunter tidak berubah. Sejumlah 1,993 kaunter tidak diniagakan dan 15 kaunter digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 188.69 juta saham bernilai RM107.06 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur, disokong aktiviti belian dalam saham pengguna, tenaga, penjagaan kesihatan dan hiburan, manakala saham teknologi merosot susulan kebimbangan berkaitan kecerdasan buatan (AI).
“Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 0.53 peratus kepada 49,501.30, manakala S&P 500 susut 0.51 peratus kepada 6,882.72. Aktiviti jualan dalam saham teknologi menyaksikan Nasdaq merosot 1.51 peratus kepada 22,904.58,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ekuiti Hong Kong pulih daripada penurunan awal dalam saham teknologi, disokong kekuatan saham solar China serta kebimbangan terhadap cukai nilai tambah yang semakin reda.
“Indeks Hang Seng meningkat 0.05 peratus untuk ditutup pada 15,857.32,” katanya.
Di dalam negara, Thong menyifatkan penurunan kecil FBM KLCI pada Rabu sebagai pembetulan positif susulan aktiviti pengambilan untung, sekali gus membolehkan pasaran menyerap kenaikan baru-baru ini.
“Kami menjangkakan aliran menaik pasaran dijangka berterusan dalam jangka panjang, disokong penilaian menarik serta aliran masuk dana asing yang berterusan. Kami mengunjurkan indeks penanda aras akan diniagakan dalam julat 1,735 hingga 1,755 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing meningkat 2.0 sen kepada RM11.96 dan RM14.12, manakala CIMB naik 1.0 sen kepada RM8.51. IHH Healthcare susut 6.0 sen kepada RM8.90, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.91.
Bagi saham paling aktif, MMAG meningkat 0.5 sen kepada 5.5 sen, Pharmaniaga dan Capital A masing-masing susut 0.5 sen kepada 32 sen dan 59 sen, Gamuda merosot 7.0 sen kepada RM4.08, manakala Zetrix AI tidak berubah pada 80 sen.
Antara saham mencatat kenaikan tertinggi ialah Nestle yang meningkat 20 sen kepada RM112.10, Petronas Dagangan naik 8.0 sen kepada RM20.04, IOI Properties dan Keck Seng (M) masing-masing meningkat 6.0 sen kepada RM3.23 dan RM5.59, serta KYM naik 4.5 sen kepada 30 sen.
Saham mencatat penurunan terbesar termasuk Fraser & Neave yang susut RM1.50 kepada RM33.86, Malaysian Pacific Industries turun 12 sen kepada RM32.38, UWC merosot 9.0 sen kepada RM4.20, manakala YTL Power International dan Malayan Cement masing-masing susut 8.0 sen kepada RM3.12 dan RM8.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 susut 17.29 mata kepada 12,555.32, Indeks FBM Emas merosot 19.26 mata kepada 12,734.45, Indeks FBM Mid 70 turun 48.47 mata kepada 17,460.41, Indeks FBM Emas Syariah susut 29.06 mata kepada 12,256.94, manakala Indeks FBM ACE merosot 12.04 mata kepada 4,684.11.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.47 mata kepada 21,491.78, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.25 mata kepada 176.33, Indeks Perladangan turun 2.99 mata kepada 8,381.96 dan Indeks Tenaga merosot 4.05 mata kepada 751.86.- BERNAMA