Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Foto hiasan

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Institut Kemajuan Desa (INFRA) meraikan dan memberi tauliah kepada 179 orang graduan dalam Majlis Konvokesyen Institut Kemajuan Desa (INFRA) Kesembilan yang telah berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, INFRA Bangi, di sini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), KKDW Dato’ Dr. Roslan Mahmood, berkata sebanyak 179 sijil kemahiran telah dianugerahkan merangkumi program TVET INFRA iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pengajaran TVET Tahap 4, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pengurusan Desa Tahap 3, SKM Penyeliaan dan Koordinasi Homestay Tahap 3, SKM Operasi Homestay Tahap 2, serta Sijil Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat Tahap 2.

Program Latihan Homestay Infra

“Ilmu dan kemahiran merupakan kunci masa depan negara, khususnya untuk memacu embangunan luar bandar. Kepentingan peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling) bagi melahirkan komuniti yang berdaya saing, fleksibel dan bersedia bagi menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-9, di Dewan Tun Abdul Razak, INFRA Bangi, di sini.

Majlis konvokesyen itu mencerminkan komitmen INFRA yang kini memasuki usianya yang ke-30 tahun sebagai institusi latihan bawah KKDW yang mencorakkan modal insan desa yang berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta moto INFRA “Membitara INFRA, Memaju Desa”.

Majlis berkenaan dimeriahkan dengan kehadiran lebih 600 orang tetamu termasuk pengurusan tertinggi KKDW, rakan strategik, agensi awam, pihak industri, media serta keluarga para graduan.

Penganugerahan itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian akademik dan kemahiran, malah membuka peluang lebih luas kepada graduan untuk menyumbang kembali kepada komuniti sebagai pemimpin, penggerak dan pencetus perubahan daripada peringkat akar umbi.

SKM Pengurusan Desa Tahap 3