Malaysia berdepan cabaran kekurangan pakar onkologi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Malasia kini berdepan cabaran kekurangan pakar onkologi bagi perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit kanser khasnya di luar bandar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekurangan 184 pakar onkologi menjejaskan akses rawatan, terutamanya di luar bandar.
  • Majoriti pakar berada di sektor swasta, mewujudkan jurang perkhidmatan awam.
  • Pendekatan kluster dan "closer to home" dicadangkan untuk memperluas liputan rawatan.
  • Program Wiran Kanser dan kerjasama NGO dilancarkan untuk pertingkat saringan dan sokongan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya mengakui 184 pakar onkologi masih tidak mencukupi meskipun jumlah yang direkodkan tahun lalu sudah meningkat berbanding 2019.

Menurutnya, majoriti pakar onkologi di negara ini berada di sektor swasta iaitu seramai 107 orang, diikuti 65 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan selebihnya masih dalam latihan.

“Ya, kita berdepan kekurangan tenaga pakar onkologi. Matriks ideal yang kita mahukan (belum tercapai). Atas dasar itulah saya menyebut tentang bagaimana kita menggunakan pendekatan kluster untuk mendapatkan pakar di hospital utama.

“Ini supaya hospital utama dapat memberikan khidmat kepada hospital daerah atau hospital tidak berpakar dan mengambil kira ‘care model’ yang bukan sahaja di hospital, tetapi juga ‘closer to home’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di ibu negara.

Datuk Seri Dr Dzulkefly memaklumkan, tiga program dilancarkan bersempena Sambutan Hari Kanser Sedunia tahun ini, termasuk Program Wiran Kanser yang menggunakan pendekatan ‘closer to home’.

Program itu bertujuan merapatkan jurang akses bagi golongan B40 dan penduduk luar bandar agar saringan serta rawatan awal dapat dilaksanakan secara meluas.

Program Wiran Kanser merupakan hasil kerjasama dengan SBS Nexus dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Kerjasama strategik bersama 13 badan bukan kerajaan (NGO) juga bagi memperkemas aktiviti pencegahan, kawalan penyakit dan penyampaian perkhidmatan sokongan kepada pesakit secara lebih bersepadu.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025 melaporkan kanser sebagai kematian ketiga tertinggi di Malaysia, meningkat dari 13.8 peratus pada 2023 kepada 14.3 peratus pada 2024.