
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Defisit fiskal negara dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus selaras dengan Belanjawan 2026, menghampiri sasaran jangka masa sederhana sebanyak 3.0 peratus seperti yang digariskan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023.
- Defisit fiskal dijangka menurun kepada 3.5 peratus selaras sasaran Belanjawan 2026.
- Pengurangan defisit mencerminkan disiplin fiskal dan pengurusan kewangan negara yang semakin kukuh.
- Peluasan asas cukai dan penyasaran subsidi membantu mengurangkan beban fiskal.
- Pertumbuhan perdagangan melebihi 6% dan keyakinan pelabur menyokong pemulihan ekonomi MADANI.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap disiplin fiskal yang semakin kukuh dalam pengurusan kewangan negara.
“Sejak itu, kita berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.4% (2021), 5.5% (2022) kepada 5% (2023) dan 4.1% (2024). Bagi 2025, defisit dijangka mencapai sasaran 3.8% dan berdasarkan Belanjawan 2026, akan turun lagi kepada 3.5% tahun ini.
“Pengurangan ini dicapai antaranya melalui peluasan asas cukai termasuk penambahbaikan SST serta penyasaran subsidi, terutamanya elektrik, diesel dan RON95.
“Reformasi fiskal negara turut diiktiraf badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam laporannya pada Disember 2025,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Tambah beliau, prestasi perdagangan negara mencatat pertumbuhan kukuh melebihi 6.0 peratus, sekali gus mencapai paras tertinggi dengan nilai mencecah RM3 trilion.
Pencapaian ekonomi berkenaan merupakan hasil pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI, khususnya melalui pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab dan berhemah.
Langkah tersebut telah meningkatkan keyakinan pelabur, selain usaha memudah cara perniagaan yang dilaksanakan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan negara.