
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.
- RUU Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.
- RUU akan menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 dan dimuktamadkan oleh NACSA.
- Pendekatan holistik dan teknologi neutral untuk tutup kelompangan undang-undang serta perkuat penyiasatan.
- NACSA laksana inisiatif AI, awan berdaulat dan keselamatan pascakuantum untuk kedaulatan digital.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU itu kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).
“Dalam hal ini, rang undang-undang berkenaan akan digubal menggunakan pendekatan holistik dan berasaskan teknologi neutral bagi menutup kelompangan undang-undang sedia ada, memperkukuhkan keupayaan penyiasatan serta pendakwaan selain melindungi keselamatan siber negara dan hak pengguna di ruang digital,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Beliau berkata jenayah penipuan dalam talian terus menunjukkan peningkatan ketara dengan kerugian keseluruhan tahun lalu melebihi RM2.9 bilion, meningkat lebih 86 peratus berbanding RM1.574 bilion pada 2024.
Tambahnya, NACSA sedang melaksanakan tindakan susulan melibatkan teknologi kecerdasan buatan, awan berdaulat (sovereign cloud) dan keselamatan pascakuantum menerusi pelbagai inisiatif bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan digital negara.