ONSA perketat kawalan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari menambah lapisan baharu kepada kerangka kawal selia negara dalam menangani penyebaran kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak di platform digital serta meningkatkan perlindungan keselamatan kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • ONSA 2025 sah bermula 1 Januari menambah lapisan kawal selia terhadap kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak.
  • Kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak diklasifikasikan sebagai kandungan berbahaya keutamaan memerlukan tindakan segera.
  • Platform media sosial berlesen dengan >8 juta pengguna wajib menurunkan kandungan berbahaya dalam tempoh singkat.
  • Matlamat ONSA ialah mewujudkan ekosistem internet lebih selamat dan melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata di bawah ONSA kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak diklasifikasikan sebagai kandungan berbahaya keutamaan yang memerlukan tindakan segera daripada penyedia platform media sosial berlesen yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.

Beliau berkata platform terbabit dipertanggungjawabkan untuk menurunkan kandungan berbahaya dalam tempoh singkat bagi mengelakkan ia terus tersebar kepada pengguna yang lebih luas.

“Pendekatan ini memastikan tanggungjawab tidak lagi diletakkan sepenuhnya kepada pengguna, sebaliknya mewajibkan platform digital berskala besar mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersempena lawatan kerja Tahun Baharu Cina di Wisma Berita dan Wisma Radio, Angkasapuri di sini.

Tambahnya, penguatkuasaan ONSA yang bermula 1 Januari diharap dapat mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat terutama dalam melindungi kanak-kanak daripada ancaman kandungan berbahaya dalam talian.